BEIJING merancang menjalankan ujian saringan besar-besaran selepas empat kes baharu Covid-19 dikesan di daerah pinggir bandar pada Jumaat, ketika wabak baharu mendorong penutupan sekolah dan pembatalan penerbangan di seluruh negara.
China mengekalkan strategi zero-Covid yang tegas dengan penutupan sempadan yang ketat, kuarantin yang panjang dan perintah berkurung bersasar.
Bagaimanapun, negara dengan bilangan penduduk teramai di dunia kini berusaha mengekang puluhan jangkitan di beberapa wilayah.
Kemunculan terbaru mendorong pembatalan ratusan penerbangan, penutupan lokasi tarikan dan sekolah serta arahan tidak keluar rumah di kawasan kediaman terjejas.
Wabah tersebut dikesan berpunca daripada pasangan warga emas yang berada dalam rombongan pelancong tempatan yang terbang dari Shanghai ke Xi’an, wilayah Gansu dan ke Inner Mongolia.
Sejak itu, puluhan kes dikaitkan dengan perjalanan mereka, dengan kontak rapat di sekurang-kurangnya lima wilayah dan daerah - termasuk Inner Mongolia dan ibu negara Beijing.
Sebagai tindak balas, pegawai di daerah Changping barat laut Beijing menggiatkan pengesanan kontak rapat dan mengetatkan protokol keselamatan Covid, lapor media kerajaan pada Jumaat, dengan 35,000 orang akan menjalani ujian saringan.
Pada Isnin, Erenhot di Inner Mongolia melarang perjalanan keluar masuk dari bandar dan mengarahkan penduduk tinggal di rumah, manakala wabak di daerah Ejin memaksa pihak berkuasa awal minggu ini menutup lokasi pelancongan dan menyekat perjalanan.
Tabloid milik negara Global Times memberi amaran pada Rabu yang kes Inner Mongolia boleh memburukkan lagi gangguan rantaian bekalan dan menghalang import arang batu dari negara jiran Mongolia.
China mencatatkan 28 kes baharu Covid-19 dalam penularan tempatan pada Khamis, tambahan 15 kes lebih banyak berbanding hari sebelumnya, kata Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan dalam satu kenyataan pada Jumaat. – AFP, 23 Oktober, 2021.
Komen