NEW Zealand menetapkan sasaran vaksinasi 90% pada Jumaat untuk membatalkan semua sekatan ketika Perdana Menteri Jacinda Ardern melancarkan rancangan pembukaan walaupun berdepan varian Delta.
Ardern berkata tujuannya beralih daripada menyekat Covid-19 kepada meminimumkan penyebarannya dalam masyarakat dengan meningkatkan vaksinasi.
Beliau berkata perubahan itu bermaksud warga New Zealand tidak akan dikenakan perintah tinggal di rumah dan penutupan perniagaan, dengan syarat mereka sudah mendapat vaksin lengkap.
“Kita tidak boleh meminta orang yang sudah diberi vaksin tinggal di rumah selama-lamanya,” katanya kepada wartawan.
Kira-kira 86% warga New Zealand yang memenuhi syarat dos vaksin pertama dan 68% dua dos.
Ardern mendapat pujian meluas dengan tindakan awalnya menangani koronavirus, yang melibatkan sekatan kawalan, jejak kontak dan penutupan sempadan yang ketat.
Dasar “Covid Zero” menyaksikan hanya 28 kematian dalam populasi 5 juta itu dan kehidupan domestik hampir normal untuk jangka masa yang panjang.
Bagaimanapun, Ardern berkata ia tidak lagi dapat dilaksanakan dengan kemunculan varian Delta yang sangat mudah menjangkiti yang dikesan di Auckland pada Ogos.
“Ia sudah sampai ke dalam masyarakat kita dan membuatnya sukar untuk dikawal, bahkan dengan langkah kesihatan awam yang terbaik dan sekatan paling ketat yang kita ada,” katanya.
Ardern berkata polisi baharu itu akan memberi harapan kepada hampir 2 juta penduduk Auckland yang terpaksa mengurung diri selama sembilan minggu.
“Jika anda mahu musim panas, ingin ke bar dan restoran, dapatkanlah vaksin,” katanya.
“Jika anda diberi vaksin, anda akan dapat menikmati perkara yang digemari, rasa selamat dengan mengetahui orang di sekeliling dan persekitaran tempat anda berada dalam keadaan selamat yang mungkin di alam Covid.” – AFP, 22 Oktober, 2021.
Komen