China batal ratusan penerbangan kekang gelombang baharu Covid-19


China membatalkan ratusan penerbangannya selepas beberapa kes jangkitan tempatan dilaporkan di negara itu yang dikaitkan dengan sekumpulan pelancong domestik. – Gambar EPA, 21 Oktober, 2021.

CHINA membatalkan ratusan penerbangan, menutup sekolah dan meningkatkan ujian besar-besaran hari ini bagi mengekang gelombang baharu Covid-19 yang dikaitkan dengan sekumpulan pelancong.

Beijing mengekalkan pendekatan “zero-Covid19” dengan penutupan sempadan yang ketat dan menguatkuasakan sekatan pergerakan bersasar walaupun negara-negara lain berusaha mengurangkan sekatan.

Jangkitan tempatan sebahagian besar sudah dikekang tetapi China mencatat hari kelima berturut-turut kes baharu yang kebanyakannya di wilayah utara dan barat laut ketika pihak berkuasa meningkatkan kawalan Covid-19.

Wabak terbaru dikaitkan dengan pasangan warga emas yang berada dalam sekumpulan pelancong. Mereka berada di Shanghai sebelum terbang ke Xian dan ke Inner Mongolia.

Sejak itu puluhan kes berkaitan dengan perjalanan mereka dilaporkan dengan kontak rapat di sekurang-kurangnya di lima wilayah termasuk di Beijing.

Sebagai tindakan lanjut, kerajaan melancarkan ujian besar-besaran dan menutup tempat pelancongan, sekolah dan tempat hiburan di daerah yang terjejas dan juga menguatkuasakan sekatan bersasar di kawasan perumahan.

Beberapa wilayah termasuk Lanzhou – sebuah bandar yang mempunyai empat juta penduduk di barat laut China sudah dimaklumkan agar tidak keluar melainkan perlu.

Mereka yang perlu keluar mesti mengemukakan ujian Covid-19 negatif.

Lapangan terbang di wilayah yang terjejas sudah membatalkan ratusan penerbangan, menurut data dari VariFlight.

Sebanyak 60% penerbangan ke dua lapangan terbang utama di Xian dan Lanzhou dibatalkan.

Terdapat 13 kes Covid-19 tempatan baharu yang dilaporkan hari ini, kata Suruhanjaya Kesihatan Nasional China. – AFP, 21 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen