Pendidikan kunci hapus kemiskinan luar bandar, kata ahli Parlimen Beaufort


Noel Achariam

Seorang kanak-kanak bermain tayar kereta di tempat pembuangan sampah di Telipok, Sabah. Ahli Parlimen Beaufort Azizah Mohd Dun berkata lapan daerah termiskin di negara ini terletak di Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2021.

SATU-SATUNYA cara untuk basmi kemiskinan kawasan luar bandar adalah dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh, kata ahli Parlimen Beaufort Azizah Mohd Dun hari ini

Ini, katanya sangat penting terutamanya buat mereka yang berada di Sabah dan Sarawak yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Azizah berkata, berikutan pandemik, tahap kemiskinan telah mempengaruhi ramai orang di bukan sahaja di Semenanjung tetapi juga di seluruh kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Satu-satunya cara untuk basmi kemiskinan adalah melalui pendidikan. Pandemik Covid-19 belum pernah terjadi sebelum ini dan kita perlu guna kaedah baru.

“Kami (kerajaan) perlu buat kajian khusus mengenai kawasan desa yang terkesan dan apa yang mereka perlukan,” katanya di forum dalam talian yang dianjurkan oleh badan pemikir Institut Masa Depan Malaysia (Masa).

Forum bertajuk Ke Arah Pemulihan Negara & Fasa Seterusnya: Membasmi Kemiskinan Tegar Menjelang 2025 diadakan untuk menangani masalah kemiskinan.

Satu-satunya cara untuk basmi kemiskinan adalah melalui pendidikan dan dengan pandemik Cocid-19 ini, kerajaan perlu guna kaedah baharu, kata Ahli Parlimen Beaufort Azizah Mohd Dun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2021.

Azizah berkata, menurut Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) lapan daerah termiskin di negara ini terletak di Sabah.

“Kerana saiz dua negeri ini (Sabah dan Sarawak), ketersampaian adalah antara masalah utama yang mereka hadapi.

“Akan jadi sukar untuk membantu mereka jika tidak ada jalan masuk. Beberapa kawasan tidak ada jalan raya dan ada yang perlu guna bot, sampan. Misalnya di Kudat, yang memakan masa kurang lebih dua jam.

“Oleh kerana itu, ketersampaian amat penting untuk kita membasmi kemiskinan secara menyeluruh kerana sekian lama kita mencapai kemerdekaan tetapi kemiskinan itu masih ada.”

Katanya pendidikan memainkan peranan penting dalam mengeluarkan mereka dari keadaan yang mereka hadapi. 

Menurut laporan RMK12, lapan daerah di Sabah itu adalah Kudat, Kota Belud, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Tongod, Telupid dan Nabawan. 

Sementara dua lagi di Lojing, Kelantan dan Puma, Sarawak.

Azizah berkata, perlu ada ketahanan untuk tangani isu tersebut selain sentiasa berhubung dengan semua etnik di Sabah dan Sarawak.

Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam memberi keutamaan pendidikan kepada anak-anak mereka, tambahnya.

“Contohnya di Kota Maradu, ada ibu tunggal di sana yang belum tamat Tingkatan Lima.

“Jadi, untuk keluar dari kemiskinan mereka berkahwin. Suami mereka tinggalkannya dan ibu bapa kepada si isteri kena bantu mereka.

“Kita harap RMK12 akan fokus pada ini serta Sabah dan Sarawak akan dapat akses pendidikan yang tepat.”

Tambahnya kajian di semua daerah pedalaman perlu dibuat bagi melihat bagaimana untuk ubah gaya hidup mereka dan membasmi kemiskinan.

“Ada banyak sekolah yang usang di Sabah. Kanak-kanak perlu ada persekitaran pembelajaran yang kondusif.

“Tanpa air, tanpa elektrik, bagaimana mereka akan dapat pendidikan yang baik?”

Ahli sosiologi dan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia, Denison Jayasooria berkata pembasmian kemiskinan mesti dilakukan melalui kerjasama dengan golongan miskin.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2021.

Perlu usaha bersama

Timbalan Dekan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Mastura Badzis berkata semua sektor perlu terllibat untuk meningkatkan pendidikan.

“Jabatan Kebajikan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan… perlu bersama-sama kembangkan pendidikan bagi membasmi kemiskinan.

“Jadi, tidak kira sekolah mana pun, kita perlu lihat apa yang mereka (pelajar) perlukan. Kita perlu ada mekanisme untuk ini.”

Katanya ibu bapa juga mesti berperanan dalam mengembangkan anak melalui penilaian berdasarkan kajian.

“Walaupun pelajar mendapat semua A, apa kelebihan dan kekurangan mereka?

“Kita perlu lihat dan tolong para pelajar sedar akan potensi mereka, bukan sekadar memperoleh hasil yang baik.”

Sementara itu, ahli sosiologi dan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia, Denison Jayasooria berkata pembasmian kemiskinan mesti dilakukan melalui kerjasama dengan golongan miskin.

“Penglibatan masyarakat dan dengan membantu diri sendiri amat penting, di mana orang ramai diminta bekerjasama.

“Jadi, lihat pada pendidikan dan peluang serta tahu dari mana asalnya dan mulakan dari situ.”

Tambahnya salah satu masalah mereka adalah sumbangan politik dan kekurangan projek rakyat.

“Dengan memberi bantuan akan menjatuhkan maruah mereka. Ada kumpulan yang akan bekerja untuk membantu orang miskin.” – 20 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen