Shafee menang saman fitnah, Badan Peguam diminta bayar ganti rugi


Ravin Palanisamy

Mahkamah Persekutuan hari ini mendapati peguam Tommy Thomas dan VC George bertanggungjawab atas tindakan mereka cuba membincangkan kelakuan Muhammad Shafee Abdullah sebagai timabalan pendakwa raya dalam kes liwat Anwar ketika mesyuarat agung tahunan (AGM) Badan Peguam pada 2015. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2021.

MAHKAMAH Persekutuan hari ini membenarkan rayuan peguam Muhammad Shafee Abdullah berhubung saman fitnahnya terhadap Badan Peguam dan dua yang lain berkaitan kelakuannya sebagai timbalan pendakwa raya (TPR) dalam kes Liwat II Anwar Ibrahim.

Panel tiga hakim diketuai Abdul Rahman Sebli mendapati peguam Tommy Thomas dan VC George bertanggungjawab atas tindakan mereka yang cuba membincangkan tingkah laku Shafee sebagai TPR dalam kes liwat Anwar ketika mesyuarat agung tahunan (AGM) Badan Peguam pada 2015.

Abdul Rahman memutuskan Shafee berhak menuntut dakwaan fitnah dan hanya Badan Peguam yang perlu bayar ganti rugi kerana ia adalah badan berkanun di bawah Akta Profesion Undang-Undang.

“Kami tidak mengeluarkan perintah serupa terhadap Thomas dan George kerana mereka bukan badan berkanun,” kata hakim itu seperti dipetik Free Malaysia Today.

Thomas dan George mengemukakan resolusi untuk membincangkan kelakuan Shafee pada AGM dan meminta jawatankuasa baharu untuk merujuk perkara itu kepada Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara.

Panel hakim yang lain iaitu Rohana Yusuf dan Vernon Ong, mengembalikan kes ini ke Mahkamah Tinggi untuk penilaian ganti rugi.

Tambah Rahman, Badan Peguam tidak ada kuasa untuk membincangkan tingkah laku peguam dalam AGM kerana perkara itu berada di bawah bidang kuasa lembaga.

“Setiap aduan mengenai peguam mesti dirujuk kepada lembaga dan tidak boleh melalui AGM Badan Peguam,” katanya.

Rahman menjelaskan pada mulanya, hal disiplin berada di bawah bidang kuasa Badan Peguam namun mulai 1 April 1982 ia berada di bawah bidang kuasa lembaga.

Thomas dan George, sebagai peguam kanan, perlu tahu setiap tuduhan salah laku terhadap rakan penasihat lain harus dirujuk ke lembaga, katanya.

“Sebenarnya, mereka mahu beliau dihukum di AGM sebelum perkara itu dirujuk kepada lembaga,” tambah Rahman.

Beliau berkata Badan Peguam melanggar undang-undang ketika menghebahkan usul dua peguam itu di laman webnya

“Ini tidak adil dan menghakimi kesalahannya terlalu awal ketika hal ini dikemukakan di hadapan lembaga,” tambahnya.

Rahman berkata, Seksyen 99 Akta (Profesion Undang-Undang) memperuntukkan dengan jelas bahawa setiap aduan mengenai peguam mesti dirujuk terlebih dahulu kepada lembaga.

Pada 26 Mei 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Shafee dan Mahkamah Rayuan membenarkan keputusan tersebut. Shafee mendakwa pada 28 Februari 2015, Thomas telah menerbitkan dan mengemukakan usul untuk dibincangkan di AGM pada 14 Mac 2015. Usul tersebut disokong oleh George.

Usul itu adalah mengenai tingkah laku Shafee sebagai TPR dalam rayuan liwat Anwar di Mahkamah Persekutuan, yang mendakwa Shafee telah melanggar Akta Profesion Undang-Undang yang melarang peguam untuk mencari publisiti sendiri.

Usul itu juga mendakwa Shafee telah mengambil bahagian dalam acara jelajah di seluruh negara dengan tujuan menghina tahanan yang disabitkan dan kerana menarik perhatian terhadap peranannya dalam kes Anwar. – 20 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen