Enam dekad BN perintah Pahang, Orang Asli masih terpinggir


Gan Pei Ling

Ketika berucap konvensyen Pakatan Harapan di Pahang hari ini, Zainal Kaptar dari sebuah kampung di Pos Sinderut berkata kekurangan bekalan elektrik menyebabkan anak-anaknya sukar untuk mentelaah di waktu malam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Januari, 2018.

SEHINGGA ke hari ini, masyarakat Orang Asli masih tidak mendapat pengiktirafan ke atas hak tanah adat dan kemudahan asas seperti elektrik, jalan raya dan air, kata perwakilan di konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Pahang hari ini.

“Kami tahu kerajaan Malaysia boleh rompak tanah kita di masa depan. Kami takut anak-anak kami nanti tiada rumah untuk berlindung dan tanah untuk tampung hidup mereka,” kata Singgol Oleh,43, dari Kampung tual, Pos Sinderut, Kuala Lipis.

“Kami takut generasi masa depan orang Semai akan dilupakan kerana kehilangan tanah adat moyang kami. Ini mesti diubah.”

Di hadapan lebih 200 hadirin, Singgol berkata tanah nenek moyang mereka di Cameron Highlands sudah diwartakan sebagai hutan simpan kekal.

“Ini bermakna, tanah itu sekarang jadi milik kerajaan Malaysia. Juga bermakna kami hilang tanah adat serta identiti kami sebagai Orang Asli terancam,” katanya.

Pos Sinderut menempatkan kira-kira 14 perkampungan Orang Asli dengan jumlah penduduk seramai 1,200 orang.

Singgol berharap kerajaan baharu kelak akan mengembalikan semula tanah adat Orang Asli.

Zainal Kaptar, 36, dari sebuah kampung lain di Pos Sinderut pula berkata, kekurangan bekalan elektrik menyebabkan anak-anaknya sukar untuk mentelaah di waktu malam.

“Kami selalu dengar Malaysia sedang menuju negara maju, ada bangunan tinggi, hotel mewah, lebuh raya… awak semua tahu tak yang ramai antara kami masih tak dapat bekalan elektrik?” kata Zainal.

Tambahnya, apabila hari hujan, sesetengah kampung terus terputus dari dunia luar disebabkan jalan raya yang rosak akibat tanah runtuh.

“Masih ada perbezaan ketara antara kemudahan yang diberi kepada Orang Asli berbanding kaum lain. Kenapa mesti ada perbezaan ini? Bukankah kami rakyat juga Malaysia?” kata Zainal.

Norhadi, 25, juga dari Pos Sinderut berkata ramai anak Orang Asli mahu melanjutkan pelajaran tetapi tidak berpeluang.

“Hanya ada satu sekolah rendah di Pos Sinderut. Ada murid yang tak tahu membaca, menulis atau mengira dengan betul selepas darjah enam.

“Ini salah siapa? Tanggungjawab siapa untuk mengajar anak-anak ini di sekolah? Ketua kampung kami sudah beberapa kali bercakap dengan pihak sekolah tetapi sia-sia saja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambah Norhadi, belia Orang Ali juga masih sukar mendapat tempat di kolej-kolej vokasional.

“Kami harap kerajaan Malaysia yang baru akan ambil peduli pendidikan Orang Asli,” katanya. – 27 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen