KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 69 kematian Covid-19 setakat tengah malam tadi, dengan 11 daripadanya berlaku di luar hospital (brought in dead atau BID).
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik kini meningkat kepada 28,062 kes, menurut KKM.
Menerusi data yang dikongsikan di portal GitHub juga menunjukkan semua kematian yang direkodkan setakat tengah malam tadi adalah kes tertunggak atau backlog.
Angka kematian harian yang dilaporkan oleh KKM merangkumi jumlah kematian baharu dan kes tertunggak, dengan ada antara mangsa meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Oleh itu, laporan harian mungkin berbeza dari jumlah kematian sebenar yang berlaku dalam sehari.
Sarawak mencatat angka kematian tertinggi iaitu 16 kes, diikuti Selangor dan Perak masing-masing sembilan kes.

Setakat semalam juga terdapat 85,916 kes aktif Covid-19 dalam negara.
Daripada jumlah itu, 676 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, dengan 330 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sementara itu, 66,065 kes positif Covid-19 menjalani kuarantin di rumah, 12,592 di pusat kuarantin berisiko rendah, manakala 6,583 menerima rawatan di hospital.
Jumlah keseluruhan kes sembuh kini mencecah 2,287,888, dengan 8,933 kes direkodkan semalam. – 20 Oktober, 2021.
Komen