Pendekkan tempoh kuarantin wajar, kata pakar


Raevathi Supramaniam Ragananthini Vethasalam

Tempoh kuarantin kini lebih pendek berbanding 14 hari sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2021.

KEPUTUSAN Putrajaya untuk memendekkan tempoh kuarantin bagi orang yang lengkap vaksinasi yang menjadi kontak rapat kes positif Covid-19 dan pelancong yang memasuki Malaysia dari luar negara adalah wajar, kata pakar kesihatan.

Ia juga hanya menunggu masa sebelum kuarantin dihentikan sepenuhnya ketika negara bergerak menuju ke fasa endemik Covid-19.

Pakar virologi Dr Chee Hui Yee, berkata langkah baru-baru ini untuk memendekkan tempoh kuarantin mandatori kepada tujuh hari tidak menjadi masalah selagi ujian RT-PCR dilakukan sebelum berakhirnya tempoh pengasingan diri.

Ahli virologi di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, beberapa kajian mendapati selang waktu antara pendedahan terhadap virus dan pengesanan melalui ujian RT-PCR juga menurun.

Pada awalnya, tempoh inkubasi adalah sekitar enam hari tetapi sekarang berkurang menjadi kira-kira empat hari, terutama dengan varian Delta, katanya.

“Uji RT-PCR itu sangat sensitif dalam mengesan virus.”

Putrajaya mula membenarkan orang yang lengkap vaksinasi dikuarantin hanya tujuh hari, sama ada mereka pelancong yang mahu masuk atau kontak rapat dengan kes positif. Mereka yang tidak mengambil vaksin atau sebahagian divaksinasi harus menyelesaikan kuarantin 10 hari.

Pakar epidemiologi UPM, Prof Madya Dr Malina Osman berkatam, keputusan itu selaras dengan trend global.

“Di peringkat global, trend kini bergerak menuju norma baru dan prosedur yang kurang ketat. Beban jangkitan di seluruh dunia juga menurun,” katanya.

Singapura satu daripada beberapa negara yang membenarkan bebas kuarantin bagi orang yang lengkap vaksinasi dari lapan negara, dengan syarat ujian Covid-19 mereka negatif, katanya.

Walaupun bersetuju dengan keputusan kerajaan, Dr Malina berkata, penting juga untuk terus mengambil langkah berwaspada.

Presiden Persatuan Doktor Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, walaupun langkah itu “baik”, kerajaan harus meneruskan pengawasan dan pemantauan ketat untuk varian baru.

Pakar Pusat Perubatan Prince Court Dr Kuljit Singh, bagaimanapun berkata, tempoh kuarantin untuk pelancong yang masuk harus bergantung kepada varian Covid-19 di negara asal mereka.

“Jika mereka berasal dari negara yang mana variannya sudah ada di Malaysia, saya tidak fikir tempoh kuarantin mencetus sebarang perbezaan,” katanya.

Beliau berkata, ada juga risiko varian baharu memasuki negara ini menerusi pelancong.

“Kerajaan melakukannya langkah demi langkah, dari 14 hari kepada 10 dan kini tujuh. Hanya masa menentukan kita tidak perlukan lagi kuarantin seperti diamalkan di negara lain,” katanya.

Di bawah peraturan baharu, pelancong yang tidak lengkap atau hanya sebahagian divaksinasi dan tidak mempunyai pilihan untuk memenuhi kuarantin di rumah, harus pergi ke pusat kuarantin yang ditentukan selama 10 hari.

Kontak rapat yang tidak lengkap atau hanya sebahagian divaksinasi boleh menjalani kuarantin di rumah namun mesti memenuhi tempoh 10 hari. – 20 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen