KETUA Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini menjelaskan beliau hanya ragu mengenai pembinaan tiga lebuh raya, dan bukannya terowong dasar laut, susulan siasatan terhadap projek-projek tersebut.
Kata Lim, di dalam ucapannya, beliau tidak memaksudkan terowong, kerana sebahagian daripada projek itu masih berada di peringkat kajian kebolehlaksanan dan hanya akan siap pada 2027.
“Jangan putar belit kenyataan saya. Saya sudah kata yang Barisan Nasional cuba mensabotaj projek itu.
“Kita belum mulakan kerja di terowong. Bayaran pun belum dibuat. Kami sedang fokus kepada lebuh raya dulu. Ramai yang tak terima kenyataan ini.
“Bila saya kata saya tak tahu sama ada projek itu boleh diteruskan, saya maksudkan lebuh raya. Kami hanya menerima EIA (penilaian kesan alam sekitar) untuk mereka tahun lepas, dan sebelum kerja-kerja boleh dimulakan, tangkapan telah dibuat,” kata Lim kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini.
Tiga lebuh raya terbabit ialah 10.53km laluan berkembar Tanjung Bungah ke jalan Teluk Bahang. 5.7km jalan pintas antara Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Air Itam, dan 4km jalan pintas dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Persiaran Gurney.
Semalam, Lim menyatakan keraguan sama ada projek itu masih boleh dilaksanakan, memandangkan keseluruhan projek itu kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – 27 Januari, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen