CADANGAN meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 sekilogram ketika ini kepada RM3.50 sekilogram akan dapat mengelakkan pekebun kecil getah beralih ke tanaman komoditi lain, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid.
Beliau berkata, sekiranya tiada tindakan menaikkan harga lantai itu dilakukan, pekebun kecil getah akan beralih ke tanaman komoditi lain yang mempunyai harga lebih tinggi terutama kelapa sawit, seterusnya menjadikan negara kehilangan pengeluar getah.
“Bila ada perbandingan antara harga getah dan kelapa sawit, ramai pekebun kecil pergi tanam kelapa sawit kerana harga getah itu (lebih rendah), sebab itu saya menyokong harga lantai getah dapat ditingkatkan.
“Walaupun ia agak sukar kita mesti mencari jalan, kalau tidak harga lantai itu rendah dan mereka akan beralih ke tanaman kelapa sawit,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang getah SMR Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di Tamparuli, Sabah hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Jahid Jahim dan pembantu Menteri Kewangan Sabah Jasni Daya.
Pada Jumaat, media melaporkan kerajaan diminta mempertimbang untuk menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram mulai Januari depan untuk membantu lebih ramai penoreh getah keluar daripada garis kemiskinan.
Pengerusi Risda Mohd Salim Mohd Sharif dilaporkan sebagai berkata, harga lantai getah sekerap RM2.50 sekilogram ketika ini jauh lebih rendah berbanding kelapa sawit yang mencecah RM1,100 setiap tan sekali gus mewujudkan jurang besar antara pengusaha kebun getah dan kelapa sawit.
Mahdzir berkata, selain harga lantai, ruang lebih luas untuk menjual hasil getah dan meluaskan kawasan tanaman getah dua lagi perkara penting bagi membantu pekebun kecil getah di negara ini meningkatkan pengeluaran seterusnya meningkatkan tahap sosioekonomi mereka. – Bernama, 19 Oktober, 2021.
Komen