Singapura benar kemasukan pelancong lengkap vaksin tanpa kuarantin


Singapura memberi kelonggaran tanpa kuarantin kepada penumpang sudah lengkap vaksin dari 10 negara. – Gambar EPA, 19 Oktober, 2021.

SINGAPURA pada Selasa mula membenarkan kemasukan warga asing tanpa kuarantin bagi penumpang yang mendapat vaksin lengkap dari lapan negara, sebagai merupakan sebahagian rancangan melonggar sekatan ketika republik itu bersedia untuk hidup dengan koronavirus.

Kelonggaran terbaru itu memperluaskan program yang dimulai dengan laluan perjalanan udara bagi individu lengkap vaksinasi dengan Jerman dan Brunei bulan lalu, dan kini dibuka untuk penumpang dari Amerika Syarikat, Kanada, Britain, Denmark, Perancis, Itali, Sepanyol dan Belanda.

Singapore Airlines berkata penerbangan dari Amsterdam, London, Los Angeles dan New York dijadualkan tiba pada Selasa di bawah program ini.

“Kami menyaksikan permintaan yang sangat tinggi untuk penerbangan Vaccinated Travel Lane kami,” kata syarikat penerbangan itu kepada AFP.

“Ini melibatkan semua kelas kabin, serta pelbagai segmen perjalanan termasuk riadah, keluarga, dan perjalanan perniagaan.”

Penumpang yang tiba sebagai sebahagian daripada skim ini - termasuk Korea Selatan mulai 15 November - tidak perlu dikuarantin jika mereka sudah divaksin lengkap dan diuji negatif virus sebelum berangkat dan ketika tiba.

Bagi membolehkan keluarga melakukan perjalanan, Singapura membenarkan kemasukan kanak-kanak tidak divaksin berusia 12 tahun ke bawah jika mereka ditemani oleh seseorang yang terbang di bawah skim ini.

Negara itu pada mulanya memerangi wabak Covid-19 dengan menutup sempadan, mengenakan sekatan dengan intensiti yang berbeza-beza dan jejak kontak yang agresif. Tetapi dengan lebih 80% penduduk diberi vaksin lengkap, pihak berkuasa ingin memulihkan ekonomi.

“Singapura tidak boleh disekat dan ditutup selama-lamanya,” kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 9 Oktober, ketika mengumumkan beberapa langkah di bawah strategi “Hidup dengan Covid-19”.

Ia merupakan kediaman bagi ribuan pejabat serantau syarikat multinasional, yang bergantung pada status Singapura sebagai pusat perniagaan dan penerbangan untuk operasi mereka.

Laluan perjalanan kepada mereka yang sudah divaksin di Singapura juga menjadi pemangkin bagi industri penerbangan dan pelancongan yang terjejas akibat wabak, kata penganalisis.

Sebelum wabak itu, pelancongan menyumbang kira-kira 5% daripada KDNK Singapura, kata Song Seng Wun, ahli ekonomi serantau dengan CIMB Private Banking.

“Kami biasanya menerima 1.6 juta pelancong setiap bulan, lapangan terbang kami biasa menangani lebih 1,000 penerbangan sehari sebelum pandemik. Sekarang hanya lebih 300 penerbangan sehari,” katanya kepada AFP.

Statistik lembaga pelancongan Singapura menunjukkan kedatangan pelawat antarabangsa menjunam kurang dari 2.8 juta tahun lalu berbanding rekod 19.1 juta pada 2019. – AFP, 19 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen