ARTIS yang sebelum ini dikenali sebagai Kanye West kini secara rasmi mahu dikenali sebagai Ye.
Sekadar Ye.
Hakim Los Angeles membenarkan permintaan pertukaran nama penyanyi rap berusia 44 tahun itu, kata seorang pegawai komunikasi di Mahkamah Tinggi Los Angeles kepada AFP pada Isnin.
Keputusan itu diluluskan selepas pada Ogos penyanyi itu membuat permohonan, atas “alasan peribadi.”
Perubahan nama ini bermaksud pemenang anugerah Grammy itu tidak lagi mempunyai nama belakang atau tengah. Nama penuhnya sebelum ini ialah Kanye Omari West.
Pada 2018 Ye mengeluarkan album dengan nama sama, nama yang sudah lama digunakannya sebagai nama panggilan.
“Saya percaya ‘ye’ adalah perkataan yang paling kerap digunakan dalam Injil, dan dalam Injil ia bermaksud ‘anda’. Oleh itu, saya adalah anda, saya anda, ianya kita,” katanya pada tahun itu dalam wawancara radio.
“Ia berubah dari menjadi Kanye, yang bermaksud satu-satunya, kepada hanya Ye yang menjadi cerminan kebaikan kita, keburukan kita, kekeliruan kita, segala-galanya.”
Juga pada Ogos, Ye menerbitkan album berdurasi 2 jam dengan 27 lagu bertajuk “Donda” setelah beberapa minggu tertangguh dan beberapa sesi pendengaran awam yang dipenuhi stadium.
Sorotan tentang beliau baru-baru ini lebih tertumpu pada kehidupan peribadi Ye berbanding karyanya, setelah beliau bercerai awal tahun ini dengan Kim Kardashian selepas hampir sedekad berkahwin.
Sebelum berita itu disebarkan, perkahwinan mereka dikejutkan oleh laporan mengenai masalah perkahwinan. Tahun lalu Ye cuba bertanding sebagai presiden Amerika Syarikat namun gagal. – AFP, 19 Oktober, 2021.
Komen