Pfizer mohon kebenaran vaksin kanak-kanak 5-11 tahun di Kanada


Pfizer-BioNTech membuat permohonan penggunaan vaksin Covid-19 di Kanada bagi kanak-kanak berusia 5-11 tahun. – Gambar AFP, 19 Oktober, 2021.

PFIZER-BioNTech menghantar permohonan kebenaran kepada pihak berkuasa kesihatan Kanada pada Isnin untuk penggunaan vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun, kata syarikat itu dan kerajaan.

“Ini adalah permohonan pertama yang diterima oleh Kesihatan Kanada untuk penggunaan vaksin Covid-19 pada kumpulan usia lebih muda ,” katanya dalam satu kenyataan.

Permintaan kebenaran berdasarkan data daripada percubaan dilakukan ke atas 2,268 kanak-kanak dalam kumpulan umur ini yang dosnya diturunkan kepada 10 mikrogram setiap suntikan - tiga kali lebih rendah berbanding dos standard - yang dikatakan syarikat adalah “dos pilihan” untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

Vaksin Pfizer-BioNTech yang sama diluluskan di Kanada bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas.

Kesihatan Kanada berkata ia hanya akan membenarkan penggunaan vaksin jika kajian saintifik yang bebas dan menyeluruh terhadap semua data dikemukakan mengesahkan yang manfaatnya melebihi risiko dengan kumpulan ini.

Kementerian Kanada juga berkata pengeluar lain juga menguji vaksin mereka pada kanak-kanak daripada kumpulan umur yang berbeza.

Awal bulan ini, makmal Pfizer dan BioNTech membuat permohonan sama untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun di Amerika Syarikat.

Imunisasi kanak-kanak membangkitkan persoalan di seluruh dunia. Banyak negara memberi vaksin kepada remaja dari usia 12 tahun, tetapi sangat sedikit yang melakukannya di bawah usia itu.

Beberapa bulan kebelakangan ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan isu mendesak adalah untuk mengimunisasi penduduk di negara miskin sebelum kanak-kanak dan remaja di negara kaya. – AFP, 19 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen