Pemuda PKR mahu Wan Azizah jadi PM peralihan


Yasmin Ramlan Low Han Shaun

DALAM pergelutan yang dihadapi Pakatan Harapan, sayap pemuda PKR hari ini menyokong Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri peralihan sementara menunggu Anwar Ibrahim dibebaskan dari jeriji besi.

Nik Nazmi Nik Ahmad ketika ucapan dasar Kongres Nasional AMK pagi ini menamakan bekas ketua pembangkang Anwar Ibrahim yang sedang dipenjarakan sebagai perdana menteri bagi membentuk kerajaan baru.

Katanya, untuk merealisasikan perkara itu, Wan Azizah merupakan calon yang sesuai bagi tempoh peralihan.

“Saya rasa tiada masalah untuk letak Wan Azizah sebagai perdana menteri kita dalam tempoh peralihan untuk letak di tampuk pimpinan,” katanya ketika ucapan penangguhan Kongres Nasional AMK di IDCC Shah Alam hari ini.

Nik Nazmi berkata Wan Azizah sebagai ketua pembangkang sudah membuktikan kecekapannya mengendalikan konflik dalaman PH terutamanya apabila membuat keputusan meminta PKR Kelantan melepaskan jawatan ahli majlis kerajaan yang dipimpin parti Islam itu.

“Kita (PKR) dah nyata dan jelas nak jadikan Anwar sebagai perdana menteri Malaysia. Bila saya buat pengumuman, ada yang tanya di Twitter macam mana nak bebaskan Anwar dan jadikan dia sebagai perdana menteri sebab Anwar di belakang jeriji besi,” katanya.

Difahamkan sebelum ini, PKR mahukan presidennya Wan Azizah atau Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali sebagai calon perdana menteri, sementara DAP pula memilih Wan Azizah.

Komponen PH, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula inginkan pengerusinya Dr Mahathir Mohamad atau presiden Muhyiddin Yassin dipilih sebagai calon perdana menteri.

Nik Nazmi dalam ucapannya juga mengkritik PAS kerana memutuskan kerjasama politik dengan PKR, berkata yang PAS juga mendapat manfaat politik daripada kerjasama politik mereka selama 18 tahun itu.

Ini dapat dilihat ketika pilihanraya 1999 apabila PAS berjaya menawan Terengganu dalam gelombang reformasi yang digerakkan Anwar Ibrahim.

Beliau juga menafikan dakwaan PAS bahawa PKR membelakangi agenda Islam kerana bekas presiden parti Islam itu, Fadzil Noor sebelum ini juga menyokong PKR. – 20 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen