Pakatan bawa isu pembubaran DUN Melaka ke mahkamah, kata Adly


Alfian Z.M. Tahir

Pengerusi Pakatan Harapan Melaka Adly Zahari berkata gabungan itu akan mengemukakan tuntutan bagi membolehkan semakan terhadap proses, prosedur dan fakta pembubaran DUN dapat dilakukan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2021.

PAKATAN Harapan (PH) akan meneruskan langkah membawa isu pembubaran DUN Melaka ke mahkamah.

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata gabungan itu akan mengemukakan tuntutan bagi membolehkan semakan terhadap proses, prosedur dan fakta pembubaran DUN dapat dilakukan.

“Pakatan Harapan Negeri Melaka akan terus menggunakan ruang perundangan bagi memberi sedikit ruang agar kerajaan yang mempunyai keabsahan majoriti boleh dibentuk dan PRN tidak perlu diadakan.

“Bagaimanapun Pakatan Harapan Negeri Melaka akan tetap bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk PRN Melaka,” katanya. 

Beliau berkata kelewatan memfailkan kes ini disebabkan oleh kegagalan pihak pengurusan DUN Melaka mengeluarkan Notis Pembubaran DUN Melaka secara rasmi kepada semua Adun sehingga kini.

PRN Melaka akan diadakan pada 20 November dengan penamaan calon ditetapkan 8 November.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh awal hari ini berkata pengundian awal ditetapkan pada 16 November.

“Kita menganggarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi,” kata Abdul Ghani, selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR di Melaka, hari ini.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas empat wakil rakyat menarik balik sokongan mereka kepada Sulaiman Md Ali untuk terus menerajui kerajaan negeri.

Sulaiman yang hilang majoriti kemudian menasihati Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Rustam untuk membubarkan DUN Melaka, yang memberi perkenan untuk pembubaran.

Empat wakil rakyat berkenaan diketuai oleh Adun Sungai Udang Idris Haron dari Umno, yang juga bekas ketua menteri Melaka antara 2013 hingga 2018.

Diikuti tiga yang lain iaitu Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-Bebas), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-Bersatu) dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor-Umno). 

Ini menjadikan Sulaiman mempunyai 13 undi - 12 dari Umno dan satu dari Bersatu - sementara pembangkang mempunyai 15 undi termasuk empat Adun yang menarik sokongan.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. – 18 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen