Terengganu sasar kutip zakat RM180 juta tahun ini


Ketua Pegawai Eksekutif Amcare Agency Mohamad Zahari Harun berkata pihaknya yakin dapat mencapai sasaran itu memandangkan peningkatan bayaran zakat melalui kaedah dalam talian yang semakin memberangsangkan sejak kebelakangan ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2021.

TERENGGANU menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM180 juta sehingga akhir tahun ini, iaitu peningkatan 15 peratus berbanding RM167 juta yang berjaya dikutip tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Amcare Agency Mohamad Zahari Harun berkata pihaknya yakin dapat mencapai sasaran itu memandangkan peningkatan bayaran zakat melalui kaedah dalam talian yang semakin memberangsangkan sejak kebelakangan ini.

“Sejak berlakunya pandemik Covid-19, memang kita bimbang sekiranya jumlah kutipan zakat berkurangan kerana pelbagai faktor namun Alhamdulillah ia meningkat.

“Susulan itu, kita sasar kutipan zakat akan terus meningkat kepada RM205 juta pada 2022,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Taksiran Zakat Harta anjuran AMCARE  Agency di sini hari ini. 

Agensi itu merupakan ejen sah kutipan zakat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Seminar yang disertai 70 peserta terdiri daripada pemimpin koperasi, pemilik syarikat, peniaga dan kakitangan agensi kerajaan dari seluruh Terengganu itu dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maidam M Rozi Bidin.

Mengulas lanjut, Mohamad Zahari berkata zakat pendapatan merupakan penyumbang tertinggi kutipan berbanding zakat perniagaan.

“Pandemik Covid-19 menyebabkan banyak perniagaan terjejas dan ini secara tidak langsung mengurangkan jumlah kutipan. Bagaimanapun ia diimbangi oleh peningkatan kutipan zakat pendapatan kerana kita memberi penerangan bahawa penting untuk orang ramai membayar zakat di tempat mereka bekerja.

“Kita buat kempen kesedaran di tempat kerja, jadi ada individu yang sebelum ini bayar zakat pendapatan di tempat lain telah membayarnya di Terengganu pada tahun ini dan ia menyumbang kepada peningkatan itu,” katanya. – Bernama, 18 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen