DUA lelaki yang tidak dibenarkan masuk ke kelab malam di Perancis kerana menunjukkan pas kesihatan Covid palsu telah ditangkap kerana menembak dan menyebabkan seorang cedera, kata pendakwa raya pada Ahad.
Kejadian itu berlaku pada malam Khamis di pinggir bandar Montbeliard.
“Telah disahkan salah seorang lelaki itu cuba tunjuk kad kesihatan yang tidak sesuai dengan identitinya,” kata pendakwa raya daerah itu, Ariane Combarel, kepada AFP.
Kedua mereka kemudian meninggalkan tempat kejadian sebelum kembali beberapa saat kemudian dengan sebuah kereta, dari mana beberapa tembakan dilepaskan ke arah kelab, tambahnya.
Seorang lelaki di kelab mengalami luka tembakan di lutut, menurut media wilayah.
Combarel berkata beliau memerlukan pembedahan dan telah diberi cuti kerja selama enam minggu.
Sejak Julai, rakyat di Perancis diminta menunjukkan pas Covid-19 untuk memasuki tempat-tempat awam seperti restoran, kelab malam, gimnasium atau pawagam.
Pas tersebut, tersedia dalam bentuk kertas atau sebagai kod QR pada telefon pintar, membuktikan orang tersebut telah diberi vaksin terhadap Covid, dijangkiti atau pernah positif Covid dan telah pulih.
Diumumkan oleh Presiden Emmanuel Macron pada Julai, ia mendorong jutaan rakyat mendapatkan suntikan.
Namun pas itu juga menimbulkan kontroversi, dengan ribuan rakyat menghadiri tunjuk perasaan mingguan di bandar-bandar di seluruh Perancis terhadap apa yang mereka sebut Macron sebagai “diktator” kesihatan.
Sebilangan orang telah berusaha untuk melanggar peraturan dengan membeli pas Covid palsu di media sosial atau menggunakan yang dimiliki oleh rakan dengan harapan mereka tidak diminta untuk menunjukkan kad pengenalan. – AFP, 18 Oktober, 2021.
Komen