Memahami hadis berdasarkan fakta sejarah Islam


Mohd Syazreen Abdullah

KEBENARAN berpaksikan fakta akan melahirkan keimanan jitu. Umat Islam harus bersikap kritis terhadap sumber keyakinan mereka. Khususnya sumber sejarah kelahiran agama Islam.

Justeru, Islam difahami bukan hanya dari sudut perspektif teologi, sebaliknya sumber sejarah. Ia tanda agama sentiasa relevan bersama fakta yang saling mengukuhkan – Islam historis.

Dalam disiplin ilmu sejarah sesuatu sumber itu benar-benar dianggap “yakin” setelah dibuktikan dengan pembuktian konkrit terhadap peristiwa berlaku. Sudah tentu paling konkrit adalah peristiwa yang dirakamkan dalam tempoh masa paling hampir. Seterusnya didokumentasikan.

Justeru, pertanyaan seringkali oleh sarjana revisionis atau ahli sejarawan mengenai sumber otentik Islam. Apakah ia benar-benar mengandungi fakta dipercayai? Apakah rakaman kejadian sejarah itu tidak berlaku sebarang kesilapan?

Pertanyaan ini muncul lebih kuat bagi sejarawan mengkaji Islam. Sesuatu sumber Islam yang disandarkan dari nabi lebih diyakini seandainya tidak melebihi jarak lebih 100 tahun selepas Rasulullah wafat. Malangnya sumber sejarah Islam dipakai sehingga hari ini telah ditulis selepas 100 tahun bahkan lebih setelah kewafatan nabi.

Ironinya, sumber paling awal ditemui pada tulisan antara 750-800 Masehi bererti ia sangat jauh meninggalkan jarak masa kewafatan baginda. Sumber ini terbuku dalam rujukan sirah paling autentik seperti sirah Ibn Ishaq dan itulah sandaran rujukan kaum Muslimin sehingga hari ini.

Menurut pengkaji, Norman Calder bahawa ulama sirah Islam hari ini sekadar menisbatkan karya mereka kepada ulama sebelumnya yang dianggap itu sumber paling autoriti tanpa kajian kritis.

Kebanyakan sumber Islam hari ini masih berlegar tentang penafsiran ulama terhadap peristiwa berlaku bukan tentang apa yang terjadi saat itu. Maka seringkali penafsiran ulama Islam cenderung kepada sejarah keselamatan (salvation history) bagi mengukuhkan ‘ideal naratif sejarah nabi’ berdasarkan keyakinan penulis.

Ada pun begitu, dalam disiplin keilmuan Islam, para sarjana Islam telah mengembangkan suatu disiplin metodologi khususnya hadis bagi memelihara keautentikan sumber tersebut melalui “sanad” bagi memastikan sesuatu sumber dipelihara dari kesalahan.

Namun dalam keilmuan revisionis ia tetap berlaku kelemahan yang boleh dipersoalkan khususnya mengenai laporan terhadap rakaman peristiwa.

Hal ini disokong dengan penggunaan kata ‘isnad’ juga muncul kebelakangan iaitu pada abad ke 2 Hijrah. Penggunaan kata isnad tidak diguna pakai dalam kitab tafsir pertama umat Islam seperti Tafsir Muqatill Ibn Sulaiman. Bahkan penggunaan isnad baru digunakan selepas itu dalam sumber tafsir rujukan Islam. 

Ini bermakna isnad belum jadi bukti kukuh keyakinan sumber dalam disiplin ilmu sejarah.

Perlukah tolak hadis?

Persoalannya apakah harus menolak sumber hadis kerana dilihat dari sudut disiplin sejarah banyak terjadinya kelemahan?

Tidak perlu tolak hadis. Kita harus membezakan bahawa hadis bukan sumber sejarah tetapi sumber teologi. Hadis dan sejarah keduanya saling melengkapi. Sebaliknya hadis tidak boleh dijadikan sandaran satu-satunya sumber dalam memahami disiplin kemunculan Islam hari ini.

Namun umat Islam memerlukan hadis sebagai sumber teologi mengenai hal ghaib yang dapat kukuhkan keimanan mereka. 

Namun untuk keimanan lebih tercerah, umat Islam harus berpegang pada sumber pengetahuan data-data sejarah. Hal ini penting bahawa kita sesekali tidak berasa lebih bagus dan meyakini pendapat kita paling benar dalam menyingkapi soal keagamaan, kerana kita akan menjumpai pelbagai kontradik dalam penafsiran ulama terhadap sumber-sumber sejarah keislaman.

Justeru sikap ini sekali gus membentuk keteguhan iman dan sikap rendah diri terhadap sesuatu kebenaran.

Maka kita semua harus bersedia berlapang dada terhadap wacana persoalan mengenai sumber sejarah dan keyakinan Islam pada hari ini. Walaupun ia datang dari sumber kedua Islam – Hadis.

Bayangkan seandainya perbahasan revisionis ini rancak diwacanakan di dalam khalayak masyarakat Melayu fahaman Islam ‘mazhab tebal’ atau kelompok konon pejuang hadis di Malaysia?

Sedia atau tidak?

Apakah kita sudah bersedia berbeza pandangan?

Selama ini wacana sumber sejarah keyakinan Islam tidak dibincangkan secara kritis di Malaysia. Mungkin kerana bersikap berbeza mengenai hal ini pasti dihukum sesat dan dilabel anti hadis. Lihat apa yang terjadi kepada arwah Kassim Ahmad. Seorang sarjana kritis ilmu hadis akhirnya dipijak-pijak oleh penguasa agama.

Pemikiran kritis beliau ditentang habis-habisan oleh kelompok majoriti Melayu Muslim yang tidak boleh bersikap berlapang dada.

Inilah punca kerana gagalnya memahami kebenaran dan membezakan kefahaman hadis dari sudut teologi dan perspektif Islam sejarah.

Agamawan hari ini tidak boleh berpuas hati dengan kajian sumber keilmuan Islam yang sedia ada. Sama ada malas atau lemah daya stamina intelektual terhadap wacana sumber Islam kritis.

Justeru sikap “taken for granted” oleh agamawan dalam hal-hal sumber keilmuan Islam telah mematikan perkembangan ilmu. Pemikir Islam, Arkoun menyebut ini sebagai punca kelesuan dalam usaha menyegarkan pemikiran Islam.

Anehnya sikap ini jarang terjadi kepada pengkaji di Barat. Bukan soal kerana mereka orientalis, tetapi budaya ilmu tinggi daripada sikap mereka harus dicontohi umat Islam khususnya agamawan hari ini. 

Sikap malas mengkaji dan tidak bersetuju terhadap perbezaan menyebabkan kita mabuk dalam wacana sendiri tanpa melihat kelemahan diri. Maka, keilmuan Islam sentiasa mengalami krisis kemunduran dan sentiasa berlegar dalam soal sesat dan haram!

Demikian betapa pentingnya memahami sesuatu sumber Islam bukan sahaja dari perspektif teologi (hadis) tetapi penting bersikap kritis terhadap Islam Sejarah.

Ayuh semarakkan sikap kritis ilmu dan berlapang dada dalam meraikan perbezaan pandangan!8

Semoga kita tidak mudah terperangkap dalam dogma kejahilan diri sekali gus terhindar dari sikap cepat memperlekehkan pandangan keilmuan yang berbeza dengan kita! – 18 Oktober, 2021.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen