Pengundi muda didaftar walau maklumat belum sah, kata sumber SPR


Alfian Z.M. Tahir

Rang undang-undang menurunkan usia pengundi kepada 18 tahun diluluskan sebulat suara pada 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2021.

PENGUNDI layak berusia 18 tahun ke atas yang belum mengesahkan maklumat mereka untuk pendaftaran pemilih akan tetap dimasukkan apabila Undi18 mula berkuat kuasa, kata sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini kerana pelaksanaan minimum usia pengundi 18 tahun akan dilakukan bersama dengan pendaftaran pemilih automatik (AVR).

AVR akan diteruskan tanpa mengira pengesahan maklumat pengundi, kata sumber itu kepada The Malaysian Insight, meminta namanya tidak disebut kerana tidak dibenarkan bercakap kepada media.

Ujian pengesahan sedang dijalankan di https://mysprsppa.spr.gov.my, yang mana rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang sebelum ini tidak mendaftar sebagai pengundi boleh menyemak butiran mereka seperti nama, nombor kad pengenalan dan alamat, yang akan menentukan kawasan pilihan raya dan pusat mengundi.

Ada kira-kira 5.8 juta calon pengundi secara keseluruhan, sementara kumpulan pemuda menyatakan sekitar 1.2 juta daripadanya adalah belia berusia 18 hingga 20 tahun.

“Proses pengesahan pendaftaran pemilih automatik (Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik atau SPPA) hanya untuk memberi mereka kesempatan memeriksa kembali maklumat mereka sebelum disenaraikan,” kata sumber SPR itu.

Bulan lalu, setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata, pengundi baharu boleh memeriksa status pendaftaran automatik mereka dari 1 hingga 31 Oktober dan mengemukakan bantahan jika perlu.

Beliau berkata, SPR akan meletakkan maklumat mengenai 5.8 juta calon pengundi di paparan umum, sehingga mereka dapat mengesahkan perinciannya.

Malaysia akan melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik dan penurunan usia mengundi daripada 21 tahun kepada 18.

Pada 6 Oktober, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mas Ermieyati Samsudin memberitahu Dewan Rakyat bahawa rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang layak mengundi akan didaftarkan secara automatik sebagai pemilih pada 31 Disember.

Ia sekali gus menyaksikan kerajaan mematuhi arahan Mahkamah Tinggi Kuching pada September bahawa Undi18 dan AVR harus dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann sementara itu berkata, proses pengesahan tidak wajib tetapi mengalu-alukan tempoh satu bulan bagi rakyat untuk melakukannya jika mahu.

“Tempoh satu bulan bagi pengundi untuk mengesahkan nama, kawasan dan maklumat lain adalah wajar.”

Beliau berkata, AVR tidak bergantung sama ada seseorang mengesahkan maklumat mereka atau sebaliknya.

Rang undang-undang untuk menurunkan usia pengundi kepada 18 tahun diluluskan sebulat suara oleh anggota parlimen pada 2019. Namun, pelaksanaannya ditangguhkan selepas perubahan kerajaan pada 2020 dan SPR menyalahkan perintah kawalan pergerakan kerana Covid-19 menghalang persiapannya.

Dua kumpulan pemuda bersekutu dengan gerakan Undi18 membawa perkara itu ke mahkamah di Kuala Lumpur dan Kuching.

Mahkamah Tinggi Kuching mangarahkan SPR dan kerajaan untuk melaksanakan usia pengundian baharu pada akhir tahun ini, sementara mahkamah Kuala Lumpur akan membuat keputusan pada 21 Oktober.

Bagaimanapun, kerajaan memutuskan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuching. – 17 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen