Kes Covid-19 di Malaysia turun 30 hari berturut-turut 


Aminah Farid

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata selari dengan penurunan kes jangkitan baharu Covid-19, jumlah pesakit yang dirawat di ICU turut mencatatkan penurunan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2021.

MALAYSIA merekodkan 9,531 kes sembuh Covid-19 berbanding 7,709 kes jangkitan baharu setakat tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. 

Negara secara konsisten merekodkan lebih banyak kes sembuh berbanding kes jangkitan baharu untuk 30 hari berturut-turut. 

Angka terbaharu kes sembuh Covid-19 itu menjadikan jumlah keseluruhan kepada 2,261,289.

Dr Noor Hisham berkata kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi (ICU) turut mencatatkan penurunan untuk tiga hari berturut-turut dengan 695 pesakit, berbanding 762 pesakit pada Isnin. 

Daripada jumlah itu, 630 adalah kes Covid-19, manakala 65 adalah kes yang disyaki dan kes masih di bawah siasatan. 

Jumlah pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut mencatatkan penurunan daripada 364 orang semalam kepada 347 orang hari ini, 66 adalah disyaki dan kes masih bawah siasatan.

Sementara it, Dr Noor Hisham berkata majoriti kes hari ini, atau 7,393 adalah dalam kategori 1 (tidak bergejala) dan 2 (bergejala ringan) manakala 116 adalah dalam kategori jangkitan lebih teruk. 

Beliau juga berkata sembilan kluster baharu jangkitan Covid-19 direkodkan hari ini yang mana empat berkaitan tempat kerja, tiga institusi pendidikan dan satu dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi. 

Jumlah kluster itu menjadikan kluster aktif di negara ini kepada 702. – 16 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen