MEREKA yang sudah lima hari dan ke atas menjalani kuarantin tetapi sudah divaksin penuh, sekiranya diuji negatif Covid-19 hari ini akan dilepaskan pada Isnin, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Ini susulan pengumuman kerajaan semalam bahawa tempoh kuarantin wajib akan dikurangkan daripada 10 kepada 7 hari bermula 18 Oktober.
Peraturan ini terpakai kepada pengembara memasuki Malaysia atau kontak rapat pesakit Covid-19, dengan syarat mereka sudah menerima vaksinasi penuh.
Menerusi kenyataan media dikeluarkan, Khairy juga berkata mereka yang tiada vaksin atau vaksinasi belum sempurna, tetapi berada pada hari kelapan dan ke atas kuarantin, juga boleh menjalani ujian PCR bermula hari ini.
“Sekiranya keputusan ujian pengesanan Covid-19 adalah negatif, mereka akan diberikan Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian pada 18 Oktober 2021,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan yang berkuatkuasa Isnin, tempoh kuarantin wajib akan dikurangkan kepada tujuh hari untuk pengembara baharu memasuki negara ini dan kontak rapat kes Covid-19, dengan syarat sudah divaksin penuh.
Tempoh kuarantin wajib 10 hari masih dikenakan ke atas pengembara dan kontak rapat yang tiada atau belum divaksin penuh.
Perubahan peraturan kuarantin itu dilakukan selepas lebih banyak negeri memasuki Fasa 3 dan 4 Pelan Pemulihan Negara.
Bermula Isnin ini tiada lagi negeri berada dalam Fasa 1 dan 2 ketika negara mula memasuki fasa endemik Covid-19. – 16 Oktober, 2021.
Komen