PUTRAJAYA sedang mempertimbangkan untuk membuka sempadan bagi pelancong asing dari negara terpilih melalui pengiktirafan bersama sijil vaksin, kata Muhyiddin Yassin hari ini.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata kerajaan juga dalam perbincangan sama ada untuk membatalkan syarat kuarantin atau mengurangkan tempoh kuarantin bagi pelancong asing.
“Kami dimaklumkan isu ini akan dibahas hari ini di bawah mesyuarat jawatankuasa khas pengurusan pandemik Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob).
“Kami sudah membuka perjalanan antara negeri. Sekarang kami sedang menunggu untuk melihat apakah sempadan antarabangsa akan dibuka untuk perniagaan atau pelancongan bagi mereka yang sudah mendapat vaksin lengkap.
“Kami berharap perkara ini dapat dipertimbangkan segera,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Lanai Kijang di Kuala Lumpur.
Pada 10 Oktober, Ismail Sabri berkata rakyat Malaysia yang mendapat vaksin lengkap bebas melakukan perjalanan ke luar negara mulai Isnin.
Beliau berkata tiada lagi keperluan memohon MyTravelPass daripada Jabatan Imigresen, namun rakyat Malaysia yang kembali tetap diminta menjalani kuarantin.
Ismail Sabri juga berkata belum membuka sempadan negara untuk pelancong asing (kecuali untuk perniagaan atau kecemasan) kerana masih mengkaji kesan pembukaan semula sempadan negara bagi pelancongan.
Muhyiddin berkata berdasarkan taklimat oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, beliau gembira dengan penurunan kes Covid-19.
“Terdapat juga penurunan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan 95% populasi dewasa sudah divaksinasi.
“Berdasarkan ini, kerajaan mempertimbangkan untuk membuka sempadan. Ini adalah langkah positif yang saya percaya akan menghidupkan kembali pelancongan, persidangan dan konvensyen antarabangsa serta membawa pengembara perniagaan.”
Beliau berharap proses pembukaan sempadan dapat dilakukan dengan cepat dan selamat. – 15 Oktober, 2021.
Komen