MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno masih belum membuat keputusan mengenai pilihan raya negeri Melaka, kata Ab Rauf Yusoh.
Pengerusi perhubungan Umno Melaka itu berkata ahli MKT akan mengadakan satu lagi mesyuarat bagi membincangkan perkara itu.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran berhubung mesyuart berkenaan.
“Belum ada keputusan. Kita akan bermesyuarat sekali lagi,” katanya ringkas kepada pemberita ketika keluar daripada ibu pejabat parti tu selepas mesyuarat MKT malam ini.
Difahamkan mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan pendirian parti berhubung pilihan raya Melaka.
Kerajaan Melaka tumbang selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan mereka kepasa ketua menteri Sulaiman Md Ali, menyebabkan beliau hilang sokongan majoriti 28 kerusi DUN.
Empat Adun berkenaan adalah Adun Sungai Udang Idris Haron, Noor Azman Hassan (Pantai Kundur), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).
Sejurus selepas itu, Idris yang juga bekas ketua menteri Melaka dan Noor Azman dilucutkan keahlian Umno kerana bertentangan dengan parti.
Bersatu turut mengambil tindakan yang sam aterhadap Noor Effandi manakala Norhizam yang sebelum ini pernah bersama DAP, merupakan bebas.
Pilihan raya negeri mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.
Dalam pada itu, ditanya mengenai rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan bekas Adun Rembia dari Umno Muhammad Jailani Khamis dan wakil rakyat bebas Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee, yang menyebut namanya, bekas speaker DUN itu menafikan terlibat dalam sebarang perbincangan melibatkan tawaran jutaan ringgit bagi menyokong kerajaan negeri yang diterajui Umno.
“Dalam politik, semua orang boleh petik nama sesiapa. Ia tiada kaitan dengan saya,” katanya.
Sementara itu Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan yang turut senada dengan kenyataan Rauf, berkata tiada sebarang keputusan dibuat berhubung pilihan raya negeri.
Bagaimanapun katanya jenteri pilihan raya parti di semua peringkat diarah untuk membuat persediaan bagi menghadapi pilihan raya negeri Melaka mengikut prosedur operasi standard.
Ditanya mengenai potensi parti itu untuk bekerjasama dengan PAS dan Bersatu dan pertembungan tiga penjuru, Ahmad Maslan berkata ia akan dibincangkan dalam mesyuarat seterusnya.
“Kita akan bincangkan pada mesyuarat seterusnya,” kata ahli Parlimen Pontian.– 14 Oktober, 2021.
Komen