Wee mahu jelas isu kabotaj ketika berdebat dengan Guan Eng 


Ragananthini Vethasalam

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong turut mencabar Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng untuk berdebat selepas pembentangan Bajet 2022. – Gambar fail The Malaysian Inight, 14 Oktober, 2021.

MENTERI Pengangkutan Wee Ka Siong berkata beliau akan menjelaskan isu kabotaj secara terperinci ketika berdebat dengan Lim Guan Eng selepas pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober. 

Wee menerusi Facebook turut menjawab usul yang dikemukakan Lim untuk merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kenyataan dibuatnya pada 30 September.

Dalam surat kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata beliau dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa telah menyediakan penjelasan secara bertulis sebagai menjawab usul itu. 

“Saya yakin YB Bagan dan YB Bukit Mertajam juga menerima surat sama yang dihantar oleh Speaker Dewan Rakyat,” katanya merujuk kepada surat yang dilampirkan. 

“Saya tunggu YB Lim Guan Eng, bila senang marilah kita berdebat!” katanya. 

Terdahulu Azhar mengarahkan Wee untuk menjelaskan mengenai dasar kabotaj yang didakwa oleh Lim mengelirukan Dewan. 

“Kenyataan itu dilihat bercanggah dengan jawapan bertulis diberi Ahli Parlimen Ketereh (Annuar Musa) yang juga menteri komunikasi dan multimedia, kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim pada 5 Oktober,” kata Azhar dalam satu surat.

Wee diarahkan menyediakan dokumen perlu atau bukti sokongan kepada penjelasannya.

Lim dalam usul difailkan 11 Oktober itu berkata Wee mengelirukan Dewan pada Ogos – ketika beliau mempersoalkan sama ada benar atau tidak dakwaan bekas pengerusi MDEC Dr Rais Hussin keputusan menarik balik dasar kabotaj menyebabkan kerugian terhadap projek kabel dasar laut yang dijangka mampu menarik pelaburan asing bernilai antara RM12 bilion hingga RM15 bilion.

Memetik Wee, Lim berkata presiden MCA itu menolak dakwaan itu berkata dasar kabotaj hanya terpakai untuk kerja baik pulih, dan bukan pemasangan.

Bagaimanapun, Annuar dalam jawapan bertulis pada 5 Oktober berkata Malaysia tidak dipilih oleh Facebook dan Google untuk projek kabel dasar laut Apricot kerana isu dasar kabotaj masih belum diselesaikan.

Kabotaj ialah hak untuk operasi perkhidmatan laut, udara dan pengangkutan lain dalam wilayah tertentu. – 14 Oktober, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen