Speaker arah menteri jelaskan isu dasar kabotaj


Ragananthini Vethasalam

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong sebelum ini berkata dasar kabotaj hanya terpakai untuk kerja baik pulih, dan bukan pemasangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2021.

YANG di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengarahkan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong memberikan penjelasan berkenaan dasar kabotaj selepas beliau dituduh oleh Lim Guan Eng mengelirukan Dewan berkenaan hal itu.

Ia susulan ahli Parlimen Bagan itu mengemukakan usul merujuk Wee kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kenyataan dibuatnya pada 30 September.

“Kenyataan itu dilihat bercanggah dengan jawapan bertulis diberi Ahli Parlimen Ketereh (Annuar Musa) yang juga menteri komunikasi dan multimedia, kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim pada 5 Oktober,” kata Azhar dalam satu surat.

Wee yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam diarahkan menyediakan dokumen perlu atau bukti sokongan kepada penjelasannya.

Lim dalam usul difailkan 11 Oktober itu berkata Wee mengelirukan Dewan pada Ogos – ketika beliau mempersoalkan sama ada benar atau tidak dakwaan bekas pengerusi MDEC Dr Rais Hussin keputusan menarik balik dasar kabotaj menyebabkan kerugian terhadap projek kabel dasar laut yang dijangka mampu menarik pelaburan asing bernilai antara RM12 bilion hingga RM15 bilion.

Memetik Wee, Lim berkata presiden MCA itu menolak dakwaan itu berkata dasar kabotaj hanya terpakai untuk kerja baik pulih, dan bukan pemasangan.

Bagaimanapun, Annuar dalam jawapan bertulis pada 5 Oktober berkata Malaysia tidak dipilih oleh Facebook dan Google untuk projek kabel dasar laut Apricot kerana isu dasar kabotaj masih belum diselesaikan.

Kabotaj ialah hak untuk operasi perkhidmatan laut, udara dan pengangkutan lain dalam wilayah tertentu.

“Ia terbukti YB Ayer Hitam cuba mengelirukan Dewan yang mulia ini kerana menteri komunikasi dan multimedia dengan jelas menyatakan isu dasar kabotaj belum diselesaikan menyebabkan Malaysia terlepas projek Apricot.

“Kenyataan YB Ayer Hitam bukan saja tidak bertangungjawab tetapi beliau juga menipu Dewan dengan memutarbelitkan fakta,” katanya.

Bekas menteri kewangan itu berkata kesilapan Wee menyebabkan ekrajaan terlepas pelaburan teknologi berkualiti tinggi yang bernilai billion ringgit.

Lee sebelum ini mempelawa Wee untuk berbahas berkenaan dasar kabotaj. – 14 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen