Kematian harian Covid-19 turun kepada 68 kes, lapor KKM


Aminah Farid

Sarawak adalah satu-satunya negeri yang mencatat kematian Covid-19 sebanyak dua digit dengan 16 kematian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2021.

MALAYSIA mencatatkan 68 kematian Covid-19 pada semalam, penurunan daripada 103 kematian pada hari sebelumnya, lapor Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut data daripada kementerian melalui Git.hub, semua kematian adalah kes tunggakan, yang bermaksud tiada kematian semalam.

Daripada jumlah keseluruhan, 12 kes diklasifikasikan sebagai kematian di luar hospital.

Kementerian memperoleh angka harian daripada jumlah jumlah kematian dilaporkan pada hari tertentu, termasuk kes tunggakan yang baru disahkan oleh pihak kesihatan selepas menyelesaikan siasatan klinikal mereka.

Justeru, jumlah kematian Covid-19 yang terkumpul di Malaysia adalah 27,593.

Sarawak adalah satu-satunya negeri yang mencatat kematian dua digit dengan 16 kematian.

Negeri dan wilayah persekutuan lain yang mencatat kematian adalah, Johor (9), Kelantan dan Sabah (6), Perak (8), Pahang, Perlis, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka (3), Negeri Sembilan dan Kedah (2).

Tiada kematian dilaporkan di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Terdapat 106,047 kes Covid-19 aktif di Malaysia setakat malam tadi. Daripada jumlah tersebut, 722 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan 380 daripadanya memerlukan sokongan ventilator.

Sementara itu, 82,634 pesakit menjalani kuarantin di rumah, 15,228 dimasukkan ke pusat kuarantin berisiko rendah sementara 7,463 dirawat di hospital.

Sebanyak 10,832 pulih semalam, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,227,889. – 14 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen