Petronas ambil tindakan batal waran tangkap bekas pegawainya di Sudan


Ragananthini Vethasalam

Sebuah laporan turut menyebut kerajaan sementara Sudan mahu rampas aset Petronas atas dakwaan syarikat minyak nasional itu memperolehi aset itu secara tidak sah ketika pemerintahan bekas pemimpin Omar al-Bashir. – Gambar EPA, 13 Oktober, 2021.

PETRONAS mengambil tindakan undang-undang untuk membatalkan waran tangkap “salah” dikeluarkan kepada bekas pegawainya berikutan dakwaan kesatuan sekerja terhadap syarikat usaha samanya di Sudan.

“PetroDar Operating Company (PDOC), sebuah syarikat usaha sama di Sudan di mana Petronas ada kepentingan, sedang membuat tindakan undang-undang bagi membatalkan waran tangkap salah yang dikeluarkan terhadap bekas pegawainya berkaitan dengan tuntutan kesatuan sekerja yang dibuat terhadap PDOC,” kata syarikat minyak nasional itu dalam satu kenyataan. 

“Peguam bebas PDOC sedang dalam proses membatalkan waran tangkap,” tambah kenyataan itu.

Petronas berkata penangkapan itu tidak ada kaitan dengan satu lagi proses perundangan untuk tuntutan semula ke atas tanah dan Kompleks Petronas di Khartoum.

Ia juga telah memfailkan permohonan untuk timbang tara di Pusat Antarabangsa Penyelesaian Pertikaian (ICSID).

“Ketika proses perundangan berjalan, Petronas tidak dapat beri maklumat lanjut mengenai kedua hal tersebut,” tambahnya.

Dilaporkan kerajaan sementara Sudan turut mengeluarkan waran tangkap terhadap pengurus negara syarikat Petronas atas tuduhan rasuah.

Laporan itu, yang memetik sumber, juga berkata kerajaan sementara Sudan sedang berusaha untuk merampas aset Petronas atas dakwaan syarikat minyak nasional itu memperolehinya secara tidak sah ketika pemerintahan bekas pemimpin Omar al-Bashir.

Laporan itu juga menyatakan langkah itu akan menyebabkan ketegangan dua hala antara Sudan dan Malaysia. – 13 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen