SEBANYAK 7,950 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Malaysia setakat tengah hari ini, naik berbanding 7,276 jangkitan semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Jumlah jangkitan terbaharu ini menjadikan beban ditanggung negara kini sebanyak 2,361,529.
Pecahan kes akan dikemas kini di laman web CovidNow selepas tengah malam.
Sementara itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 hari ini berkata negara telah memvaksinasi sepenuhnya 21.6 juta orang, atau 66.1 peratus dari populasi umum.
Ia berkata 24.6 juta orang, atau 75.2 peratus penduduk telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.
Lebih 1.9 juta, atau 63 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah menerima satu dos vaksin sementara 370,995, atau 11.8 peratus, telah divaksin sepenuhnya.
Laman web CovidNow Kementerian Kesihatan menjangkakan 80 peratus penduduk akan divaksin sepenuhnya pada 30 November ini. – 13 Oktober, 2021.
Komen