Jauhi taliban moden, kata pemuda PKR


Yasmin Ramlan

Wujud taliban moden dalam parti di Malaysia, kata Perwakilan Pemuda PKR Pulau Pinang Fahmi Zainol. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Mei, 2017.

PERWAKILAN Pemuda PKR Pulau Pinang memberi peringatan supaya menjauhkan diri daripada golongan “taliban moden” yang menggunakan agama demi kepentingan diri sendiri.

Walaupun tidak menyebut dengan terperinci mengenai parti yang dilabelkan sebagai taliban moden itu, Fahmi Zainol berkata PKR seharusnya berwaspada dengan mereka yang berselindung di sebalik agama.

“Sekarang ini wujudnya taliban moden. Bukan Isis tapi ia juga dalam parti di Malaysia.

“Taliban moden ini kita perlu jauh dari mereka yang tunggang agama untuk kepentingan diri sendiri. Saya tak nak sebut siapa. Tapi anda tahu sendiri,” katanya ketika membahaskan ucapan Ketua AMK NIk Nazmi Nik Ahmad di IDCC Shah Alam hari ini.

Dia turut menyokong cadangan Nik Nazmi menamakan bekas pembangkang yang kini meringkuk di penjara Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri kerana merasakan politik yang dibawanya merupakan politik tanpa mengira kaum dan agama.

“Anwar kumpulkan pemimpin-pemimpin pelbagai latar belakang, termasuk di Sabah dan Sarawak. Ini politik ideal,” katanya.

Nik Nazmi sebelum ini berkata rekod pemimpin berusia 69 tahun itu sebagai bekas menteri kewangan pada 1991 hingga 1998 membuktikan kebolehannya menyandang jawatan tersebut. – 20 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen