Polis terus buat pemeriksaan mengejut, rawak, kata Hishamuddin


Ragananthini Vethasalam

Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata polis akan terus membuat pemeriksaan rawak dan mengejut antara lainnya bagi memastikan tiada individu yang tidak divaksin terlepas merentas negeri tanpa kebenaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2021.

POLIS akan terus membuat pemeriksaan rawak atau secara mengejut bagi memastikan hanya individu divaksinasi sepenuhnya yang merentas negeri, kata Menteri Kanan Pertahanan Hishamuddin Hussein hari ini.

“Saya ingin ingatkan orang ramai, walaupun sekatan jalan raya bagi menyekat perjalanan rentas negeri sudah tamat, polis akan terus pantau (keadaan) melalui pasukan penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya pada sidang media.

“Ini termasuk pemeriksaan rawak di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) melalui sekatan jalan raya bergerak, pemeriksaan secara mengejut, pemantauan di R&R dan sekatan jalan raya di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).”

Tambah Hishamuddin SOP sebelum ini juga masih berkuat kuasa.

Walaupun MyTravelPass telah dibatalkan bagi mereka yang melakukan perjalanan ke luar negara, mereka masih perlu menjalani kuarantin selepas pulang ke Malaysia.

Peralihan ke fasa endemik juga bergantung pada perkembangan kelonggaran sekatan semasa, tambahnya.

Hishammuddin, yang sebelum ini berada dalam Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, berkata mereka juga membincangkan tiga titik fokus penting yang akan menjadi kunci kepada Inisiatif Pembukaan Semula oleh kerajaan dan menuju fasa endemik.

Salah satunya adalah kawalan bersasar, di mana Kementerian Kesihatan kini sedang membangunkan sistem amaran.

Dua titik fokus lain adalah kesedaran virus dan pemberdayaan masyarakat.

Hishammuddin turut menyarankan rakyat tingkatkan penilaian kendiri dengan mengikuti TRIIS iaitu Test, Report, Isolate, Inform, dan Seek sebagai sebahagian daripada langkah berterusan kesihatan awam.

Larangan rentas negeri ditarik semalam selepas negara mencapai kadar 90 peratus populasi dewasa telah lengkap divaksin. – 12 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen