PELANCONG tidak lagi diwajibkan menjalani ujian saringan sebelum bertolak ke Langkawi berkuat kuasa serta-merta, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira peratusan jangkitan Covid-19 membabitkan pelancong di pulau pelancongan itu sangat rendah.
Hanya 0.4% atau 261 daripada 54,341 pelancong dikesan positif Covid-19 menerusi ujian saringan semasa gelembung pelancongan yang dari 16 September hingga 10 Oktober, katanya dalam kenyataan.
Menteri itu bagaimanapun menggalakkan pelancong supaya melakukan ujian saringan kendiri sebelum berlepas ke Langkawi. Langkah itu katanya bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada pelancong lain.
Beliau juga menegaskan aktiviti pelancongan di pulau itu hanya dibenarkan bagi individu yang telah lengkap vaksinasi Covid-19.
Tambah Khairy, tiada kluster Covid-19 dikesan di Langkawi sejak ia dibuka kepada pelancong bulan lepas.
“Siasatan mendapati punca jangkitan bukan di Langkawi. Tiada kluster Covid-19 yang berpunca dari gelembung pelancongan di Langkawi,” katanya.
Individu yang disahkan positif dan sedang dalam tempoh kuarantin dan pemantauan atau dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif tidak dibenarkan melancong ke pulau itu, tambahnya.
Begitu juga individu yang mengalami gejala seperti demam, batuk dan selsema, merek dinasihatkan supaya menangguhkan dahulu perjalanan. – 12 Oktober, 2021.
Komen