KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 7,276 kes baharu Covid-19 hari ini, naik sedikit berbanding 6,709 semalam, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Angka harian semalam paling rendah yang direkodkan dalam tempoh lebih tiga bulan.
Pertambahan kes baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kini 2,353,579 kes, kata ketua pengarah kesihatan itu di Twitter.
Pecahan kes baharu mengikut negeri akan dimuat naik di portal CovidNow tengah malam ini.
Sementara itu, sejumlah 184,486 dos vaksin Covid-19 diberikan semalam bagi golongan dewasa melibatkan 52,302 dos pertama dan 132,184 dos kedua.
Berdasarkan data KKM yang disiarkan di portal CovidNow, ssetakat semalam sebanyak 94.9% populasi dewasa atau 22,200,207 individu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Setakat semalam juga 283,023 atau 9.0% kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahuntelah melengkapkan suntikan vaksin manakala 64.4% sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Sebanyak 45,835,200 dos vaksin telah diberi di seluruh negara menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan sejak 24 Februari lalu. – 12 Oktober, 2021.
Komen