2% penjawat awam belum terima vaksin, kata menteri


Ragananthini Vethasalam Chan Kok Leong

Kerajaan berkata suntikan vaksin Covid-19 masih diberikan secara sukarela namun akan ada syarat yang harus dipenuhi sekiranya Putrajaya melaksanakan vaksinasi wajib bagi penjawat awam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2021.

KIRA-KIRA 30,000 atau 1.9% daripada 1.6 juta penjawat awam belum divaksin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad kepada Dewan Rakyat hari ini.

“Kira-kira 98.1% pegawai sudah menyelesaikan vaksinasi mereka. Hanya 1.9% daripada 1.6 juta penjawat awam yang belum diberi vaksin,” katanya.

Abdul Latiff memberi maklum balas kepada Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading-Pejuang) mengenai status dan hak penjawat awam yang enggan mendapat vaksin dan adakah kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Beliau berkata suntikan vaksin Covid-19 masih diberikan secara sukarela.

Abdul Latiff menambah akan ada syarat yang harus dipenuhi sekiranya Putrajaya melaksanakan vaksinasi wajib bagi penjawat awam.

Menjawab soalan tambahan daripada Shahruddin mengenai adakah Putrajaya berhasrat melaksanakan ujian mingguan untuk guru dan penjawat awam, Latiff berkata cadangan itu akan dibawa ke Majlis Keselamatan Nasional (MKN) untuk dipertimbangkan.

Katanya kerajaan akan terus berinteraksi dengan anti-vaksin walaupun tidak ada perancangan untuk mewajibkan vaksinasi ketika ini.

“Ya, mereka berpengaruh tetapi hanya apabila mereka dijangkiti dalam jangkitan Kategori 4 dan 5, mereka akan memahami keperitan untuk berjuang teruskan hidup dan berada di unit rawatan rapi,” katanya.

Abdul Latiff menjawab pertanyaan Mohammad Sabu (Kota Raja-PH) mengenai apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk meyakinkan golongan anti-vaksin terutama mereka yang berpengaruh seperti doktor, profesor dan pemimpin agama untuk mendapatkan vaksin.

Malaysia sudah memberikan vaksin kepada 94.9% populasi orang dewasa dan 65.6% dari populasi umum. – 12 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen