Pengungkaian ordinan darurat dibawa ke sidang akan datang


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan keputusan menangguhkan perbahasan ordinan darurat di Dewan Rakyat pada persidangan awal pagi tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2021.

USUL bagi membahas dan meluluskan ketetapan menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengungkaikan Ordinan-ordinan Darurat akan dibawa ke persidangan akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu mengumumkan keputusan berkenaan di Dewan Rakyat pada persidangan awal pagi tadi.

Persidangan Dewan Rakyat seterusnya akan diadakan dari 25 Oktober hingga 16 Disember. 

Semalam kerajaan memutuskan untuk membentangkan tujuh ordinan darurat untuk dibahaskan dan diluluskan di Dewan Rakyat, sesuai dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan semua ordinan darurat perlu dibentangkan di kedua-dua dewa, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam Kertas Pesanan semalam. 

Pada 11 Januari, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pengistiharan Daurat bagi memberi kerajaan Perikatan Nasional lebih banyak kuasa untuk memerangi wabak Covid-19. 

Sepanjang tempoh ini, kerajaan Muhyiddin meluluskan tujuh ordinan darurat tanpa persetujuan perundangan.

Ini termasuk undang-undang untuk meningkatkan denda kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang memungkinkan kerajaan persekutuan dan negeri menggunakan dana kerajaan tanpa persetujuan perundangan dan bagi kerajaan menambah kemudahan hospital swasta untuk membantu memerangi wabak tersebut.

Bagaimanapun hanya beberapa hari sebelum proklamasi itu berakhir pada 1 Ogos, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan (Kota Bharu-PN) mengejutkan Parlimen dengan mengatakan Kabinet sudah membatalkan ordinan pada 21 Julai.

Sebagai tindak balas segera terhadap pengumuman Takiyuddin, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.

Perikatan Nasional kemudian membatalkan dua hari terakhir persidangan Dewan Rakyat selama lima hari.

Berikutan itu, 14 ahli Parlimen Umno mengumumkan mereka hilang kepercayaan kepada Muhyiddin yang meletak jawatan pada 16 Ogos. – 12 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen