PIHAK berkuasa Mesir menahan tiga individu yang dituduh membuang ribuan vaksin Covid-19 belum digunakan yang dijumpai minggu lalu di parit air di bandar selatan, kata pihak pendakwa raya.
“Sebuah jawatankuasa penyiasat ... menemui 18,400 dos vaksin yang kekurangan dalam inventori simpanan pengarah kesihatan Minya bernilai 5,023,200 pound (AS$ 319,000),” kata pihak pendakwa pada Ahad dalam satu kenyataan yang disiarkan di akaun media sosialnya.
Kenyataan itu berkata 13,412 dos didapati dibuang tetapi tidak sesuai digunakan kerana tidak disimpan dengan betul kerana tidak menepati suhu diperlukan. Sebanyak 4,988 dos lain juga didapati hilang.
Ia tidak menjelaskan jenis vaksin yang terlibat.
Minya terletak lebih 200km dari Kaherah.
Tiga orang yang ditahan adalah seorang ahli farmasi, pemandu dan pemeriksa tempat simpanan yang semuanya bekerja dengan kementerian kesihatan.
Mereka berdepan tuduhan kecuaan dan penyelewengan dana awam, menurut pendakwaan awam.
Ketiganya akan ditahan sementara menunggu siasatan, tambah pihak pendakwaan.
Minggu lalu, media sosial dipenuhi gambar vaksin dibuang dengan banyak pengguna dalam talian mendesak pihak sepatutnya bertanggungjawab.
Jurucakap Kabinet Nader Saad berkata minggu lalu Mesir, negara Arab paling ramai penduduknya dengan lebih 100 juta orang, setakat ini sudah memberi vaksin lengkap kepada hampir 7 juta orang.
Kes virus harian meningkat dengan stabil dalam beberapa minggu kebelakangan ini dengan jumlah korban melebihi 312,000, termasuk lebih 17,000 kematian. – AFP, 12 Oktober, 2021.
Komen