Vaksinasi percuma di klinik swasta terpilih Lembah Klang, kata KKM


Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berkata mulai hari ini individu dewasa boleh menempah slot vaksinasi di kemudahan kesihatan swasta terpilih yang berdaftar dengan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2021.

INDIVIDU dewasa di Lembah Klang yang belum mendapatkan vaksinasi kini boleh menerima suntikan secara percuma di klinik kerajaan atau kemudahan kesihatan swasta, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Mulai hari ini, individu dewasa boleh menempah slot vaksinasi di kemudahan kesihatan swasta terpilih yang berdaftar dengan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd., katanya dalam satu kenyataan.

Mereka yang berada di Lembah Klang boleh menghubungi mana-mana 98 kemudahan swasta yang tersenarai di laman Facebook kementerian untuk membuat janji temu.

“Program vaksinasi secara tempahan ini adalah bagi mengelakkan pembaziran dan ketidakpastian permintaan vaksin,” kata KKM.

Kumpulan sasaran bagi program ini adalah golongan dewasa yang baru mendaftar dan belum mendapat janji temu, golongan yang terlepas suntikan dan golongan yang akan diumumkan dari masa ke semasa, kata KKM.

Lembah Klang mempunyai kadar vaksinasi paling tinggi di negara ini dengan 82.2 peratus populasi keseluruhannya manakala 112.1 peratus populasi dewasa telah melengkapkan vaksinasi mereka. – 11 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen