Malaysia rekod 7,373 kes baharu Covid-19, terendah dalam 3 bulan  


Ragananthini Vethasalam

Angka terkini jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 merupakan yang terendah sejak tiga bulan lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan merekodkan 7,373 kes jangkitan baharu Covid-19 semalam, yang mana ia merupakan yang terendah sejak tiga bulan lalu, menurut data laman web CovidNow. 

Angka terbaharu itu merupakan yang terendah sejak 7 Julai, apabila merekodkan 7,097 kes baharu. 

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 seluruh negara kini 2,339,594 setakat 11.59 tengah malam pada 10 Oktober. 

Sarawak merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 1,132 jangkitan baharu diikuti Selangor dengan 1,015. 

Negeri lain dan wilayah persekutuan yang turut merekodkan kes baharu semalam adalah Johor dengan 714 kes, Sabah (562), Perak (589), Terengganu (500), Kelantan (915), Pahang (372), Pulau Pinang (542), Kedah (401), Melaka (203), Negeri Sembilan (196), Kuala Lumpur (151), Putrajaya (31), Perlis (48) dan Labuan (2).

Terdapat 116, 596 kes aktif Covid-19 di Malaysia setakat malam tadi. Daripada jumlah ini, 759 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan 408 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. 

Sementara itu 92,513 pesakit dikuarantin di rumah, 15,578 dimasukkan ke pusat kuarantin berisiko rendah manakala 7,746 dimasukkan ke hospital. 

Jumlah kes sembuh melebihi kes sembuh selepas 10,959 kes direkodkan. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kepada 2,195,669. – 11 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen