KAMARAZAMAN Yaakob berkata adiknya Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak mempengaruhi keputusannya untuk membentuk satu parti politik baharu, Parti Kuasa Rakyat.
Menolak tanggapan sedemikian, bekas pemimpin pelajar di Universiti Malaya itu berkata, pandangan politiknya berbeza dengan Ismail Sabri.
Seorang sosialis yang kuat pada masa mudanya, Kamarazaman yang terkenal dengan pembabitannya dalam banyak gerakan anti-pembangunan berkata, beliau dan Ismail Sabri mempunyai satu kesamaan - mereka sedar bagaimana dibesarkan dalam keluarga miskin.
“Pemikiran politik dan pandangan saya mengenai banyak perkara amat berbeza dengan perdana menteri (Ismail Sabri).
“Saya tidak dipengaruh olehnya untuk membentuk parti ini. Tetapi kami tahu satu perkara, bagaimana rasanya datang dari keluarga miskin. Keluarga kami adalah penoreh getah. Keputusan saya hari ini bukan datang daripada beliau,” tegasnya.
Kamarazaman adalah rakan karib Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid Hamidi, Hishamuddin Rais dan Yunus Ali ketika mereka menuntut di UM. Pada satu ketika, Zahid yang kini menjadi presiden Umno adalah rakan sebilik Kamarazaman.
Kamarazaman ditahan bersama Anwar pada 1974 sementara Hishamuddin dan Yunus berjaya melepaskan diri dan mencari perlindungan di luar negara.
Semasa berucap petang tadi, Kamarazaman menekankan Kuasa Rakyat akan berusaha untuk menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menggantikannya dengan biasiswa untuk B40 dan M40.
Dalam ucapan ala Fidel Castro, Kamarazaman berjanji parti baharu itu akan memberikan autonomi kepada ahli dari Sabah dan Sarawak.
“Mereka tidak hanya akan diberi kebebasan untuk memutuskan kepemimpinan mereka di peringkat negeri tetapi juga wakil mereka di peringkat pusat untuk mengisi kuota, yang merangkumi jawatan timbalan dan naib presiden,” katanya.
Selain ingin menghapuskan PTPTN, Kamarazaman berkata, beliau berusaha untuk memberikan rawatan kesihatan dan perumahan percuma untuk orang miskin sambil mengenakan cukai lebih tinggi kepada golongan kaya. – 10 Oktober, 2021.
Komen