Khairy bimbang gelombang baharu Covid-19 susulan rentas negeri


Ravin Palanisamy

Khairy menyatakan beliau berasa risau setiap malam memikirkan mengenai jangkitan Covid-19. – Gambar Facebook, 10 Oktober, 2021.

ANCAMAN gelombang baharu Covid-19 menjadi kebimbangan terbesar Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin susulan kebenaran perjalanan rentas negeri mulai esok.

Khairy berkata, walaupun beliau menyambut baik kelonggaran sekatan dan pembukaan semula sempadan, ancaman satu lagi gelombang agak ketara memandangkan virus yang sukar dijangka dan sikap ambil mudah orang ramai.

“Setiap malam saya risau. Saya bimbang kerana kita tidak tahu bagaimana virus Sars-Cov-2 ini bertindak… ini adalah virus baharu. Kami tidak tahu bagaimana ia bermutasi, bagaimana tingkah lakunya dan apa yang mungkin akan dilakukan seterusnya… dan yang paling penting kami juga tidak tahu bagaimana tingkah laku orang ramai.

“Apa yang saya tahu semua orang akan bergegas ke sempadan esok tetapi dalam hati saya, sebagai menteri kesihatan, kebimbangan terbesar saya adalah satu lagi gelombang,” katanya hari ini pada sambutan Hari Doktor Malaysia Persatuan Perubatan Malaysia.

Khairy enggan menolak kemungkinan satu gelombang baharu, menyatakan beberapa negara lain dengan kadar vaksinasi tinggi yang sama seperti Malaysia, juga mengalami gelombang jangkitan.

Beliau berkata, walaupun sebahagian besar kes baharu dalam kategori 1 dan 2 yang tidak bergejala dan bergejala ringan, kemungkinan kes teruk meningkat boleh berlaku.

“Ingat, bahagian bawah piramid menjadi lebih besar apabila bahagian atas piramid menjadi lebih besar.

“Ketika jangkitan semakin meningkat, bayangkan 98% kes berada di kategori 1 dan 2 tetapi selebihnya 2% di kategori 3, 4 dan 5 bertambah besar dari segi jumlah mutlak,” katanya.

Selepas kebenaran merentas negeri diberikan, Khairy menggesa setiap orang supaya tidak mengambil mudah dan terus mematuhi prosedur operasi standard. – 10 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen