KERAJAAN membenarkan pergerakan rentas negeri dan keluar negara bermula Isnin 11 Oktober bagi individu menerima vaksin lengkap Covid-19, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, rakyat bebas untuk balik kampung, melancong dan melakukan aktiviti lain dan bagi pergerakan keluar negara, kebenaran diberikan bagi semua tujuan termasuk pelancongan tanpa perlu memohon MyTravel Pass.
“Bagaimanapun, pengembara masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air,” katanya lagi dalam sidang media disiar secara langsung.
Beliau mengingatkan, kelonggaran rentas negeri juga hanya bagi individu yang menerima vaksin lengkap dan pihak berkuasa masih boleh mengenakan kompaun sekiranya ketetapan itu dilanggar.
“Walaupun tiada sekatan jalan raya khusus tapi polis boleh buat pemeriksaan rawak di mana sahaja,” katanya.
Jelasnya, kelonggaran pergerakan juga masih tidak dibenarkan ke kawasan yang tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pegerakan Diperketatkan (PKPD).
Beliau turut menggesa semua pemilik premis memeriksa status vaksinasi dan juga status risiko pelanggan sebelum menerima individu berkenaan.
“Langkah ini penting bagi memastikan risiko berlakunya jangkitan di dalam premis rendah,” katanya.
Katanya, ia perlu dilakukan semua pengusaha termasuk kedai makan, kedai runcit, pusat beli-belah, fasiliti sukan termasuk gimnasium dan pejabat.
Beliau mengumumkan demikian selepas negara berjaya mencapai liputan vaksin Covid-19 ke atas 90% populasi dewasa hari ini.
Ketika ditanya, Ismail berkata, kerajaan mengambil kira peratusan seluruh negara walaupun masih terdapat negeri yang belum mencapai liputan vaksin 90% ke atas populasi dewasa.
Kerajaan juga masih belum menetapkan tarikh untuk mengumumkan negara memasuki fasa endemik Covid-19, katanya.
Larangan rentas negeri dikuatkuasakan semula di seluruh negara pada 10 Mei berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19.
PKP seluruh negara pertama kali dilaksanakan dari 18 Mac hingga 3 Mei 2020.
Ia kemudian dikuatkuasa semula di enam negeri membabitkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah dari 13 hingga 26 Januari 2021.
Ia kemudian dilanjutkan di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang sehingga 4 Mac. Kawalan pergerakan dilaksana melalui Pelan Pemulihan Negara bermula Jun 2021. – 10 Oktober, 2021.
Komen