Pemuda PKR tidak gentar dengan PAS


Yasmin Ramlan

Perwakilan Pemuda PKR Wilayah Persekutuan tidak gentar berdepan PAS dalam pertarungan tiga penjuru.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Mei, 2017.

PERWAKILAN pemuda PKR Wilayah Persekutuan tidak gentar untuk “berlawan” sekiranya PAS mahu mewujudkan pertarungan tiga penjuru dalam pilihan raya umum akan datang.

Ahmad Azri Zainal Nor mengingatkan parti yang dipimpin oleh Abdul hadi Awang itu pernah bertanding di Batu, namun hilang deposit dan perkara sama akan berulang sekiranya PAS bertanding di kerusi itu.

Katanya lagi PKR sudah cuba mempertahankan hubungan kerjasama politik mereka meskipun PAS melemparkan pelbagai tohmahan negatif terhadap mereka.

“Baru-baru ini ada orang benci kita, sudah tak nak kawan. Lemparkan kita dengan pelbagai tohmahan yang akhirnya menghasilkan putus hubungan.Kita lah yang jahat, mereka semua baik masuk syurga.

“Kita selama ini bersabar. Kita selama ini cuba mempertahankan hubungan suci kita. Tapi apa yang kita dapat? Kerusi kita pun dia nak. Bagi Batu pun dia nak. Kalau Batu mereka nak, just bring it on!” katanya pada Kongres Nasional AMK di IDCC Shah Alam hari ini.

Selepas memutuskan kerjasama politik dengan PKR, PAS mengumumkan yang mereka akan bertanding di 100 kerusi parlimen seluruh negara menentang bekas rakan sepakatnya, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Di Kuala Lumpur, PAS mengatakan yang mereka akan meletakkan calon di sekurang-kurangnya empat kawasan yang secara tradisinya ditandingi PKR- Batu, Lembah Pantai, Setiawangsa dan Wangsa Maju. – 20 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen