BERIBU-RIBU penunjuk perasaan membuat protes di Rom pada Sabtu menentang sistem pas kesihatan Covid-19 yang diperluas ke semua tempat kerja.
Terjadi pergaduhan dengan polis ketika para demonstran menyalahkan pas kesihatan, yang menjadi syarat untuk masuk muzium, acara sukan dan restoran sejak Ogos.
Walaupun protes itu dibenarkan, beberapa orang dilihat berjaya melepaskan diri dari sekatan dan berarak ke Parlimen.
Polis menggunakan meriam air dan gas pemedih mata untuk menghentikannya, menangkap beberapa penunjuk perasaan, lapor agensi berita AGI.
Tunjuk perasaan berasingan berlaku di ibu kota dan yang lain di bandar utara Milan dan di Cesena, tengah Itali.
Tiga minggu lalu, kerajaan Perdana Menteri Mario Draghi mengumumkan skim itu akan diperluas ke semua tempat kerja mulai 15 Oktober dan mana-mana pekerja yang enggan mematuhi akan menghadapi penggantungan tanpa gaji.
Sistem pas kesihatan sudah dilaksanakan untuk semua pekerja perubatan. Ia memerlukan individu untuk memberikan sijil vaksinasi, bukti pemulihan dari Covid-19 atau hasil ujian negatif.
Pesara Maria Ballarin mengecam “tindakan jenayah dan pengecut” oleh kerajaan Itali.
Dengan tidak membuat vaksinasi wajib tetapi memaksa pekerja menyuntik “ia membebaskan dirinya dari segala tanggungjawab terhadap kes maut atau akibat yang serius, tetapi secara tidak langsung mewajibkan orang untuk diberi vaksin agar dapat pergi bekerja”, katanya.
“Kami berdua digantung dua bulan lepas,” kata Cosimo, salah seorang penunjuk perasaan, kepada AFP. Dia dan isterinya Morena kedua-duanya jururawat.
Pasangan itu berkata mereka ada masalah imuniti dan alergi serta dikecualikan daripada syarat vaksinasi oleh doktor keluarga mereka.
Tetapi kedua-duanya digantung tanpa gaji.
Stefano, yang berasal dari Como di utara untuk menyertai tunjuk perasaan pada Sabtu, berkata dia akan ambil ujian. “Saya kena bayar untuk kerja. Ini tidak masuk akal,” katanya.
Hampir 80 peratus daripada rayat berusia atas 12 tahun di Itali telah divaksinasi sepenuhnya, menurut statistik kerajaan.
Negara Eropah pertama yang dilanda pandemik Covid-19, Itali telah menderita lebih dengan 130,000 kematian. – AFP, 10 Oktober, 2021.
Komen