KEMENTERIAN Kesihatan 74 kes kematian berkait Covid-19 - semuanya kes tertunggak - setakat tengah malam tadi, menjadikan jumlah kematian yang direkodkan sepanjang pandemik kepada 27,265.
Jumlah kes kematian yang direkodkan hari ini adalah yang terendah dalam tempoh 98 hari, dengan kes terendah sebelum ini direkodkan pada 4 Julai iaitu 63 kes.
Menurut data GitHub kementerian, daripada 74 kes kematian yang direkodkan, tiada kematian berlaku semalam, bermakna kesemuanya adalah kes tertunggak yang tidak dilaporkan sebelum ini. Ini dikesan pada hari sebenar kematian berlaku.
Angka kes tertunggak adalah jumlah kematian yang berlaku pada hari tersebut dan laporan kematian yang tertunggak, atau kematian yang baharu disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan akibat Covid-19 selepas siasatan selesai.
Daripada jumlah kes tertunggak yang dilaporkan, 27 adalah kematian di luar hospital (BID), menjadikan jumlah keseluruhan di bawah kategori ini adalah 5,500.
Tiada mangsa yang meninggal akibat wabak ini mempunyai rekod vaksinasi Covid-19.
Selangor merekodkan kes kematian tertinggi dengan 22 kes dan merekodkan kes BID tertinggi iaitu 13.
Negeri lain dan wilayah yang turut merekodkan kes kematian adalah Sarawak dengan 14 kes, Sabah (11), Johor (10), Kelantan (5), Perak (4), Melaka dan Kuala Lumpur (masing-masing 2), Kedah, Negeri Sembilan, Perlis dan Terengganu (masing-masing 1).
Tiada kematian berkait Covid-19 direkodkan di Pahang, Pulau Pinang, Labuan dan Putrajaya.
Selain 13 kes BID di Selangor; Sabah dan Sarawak masing-masing merekodkan lima kes manakala Kedah, Kelantan, Melaka dan Terengganu masing-masing satu kes.
Menurut laman web CovidNow kementerian, purata kes kematian negara bagi setiap 100,000 penduduk sejak enam bulan lalu adalah 7.9. Selangor merekodkan jumlah tertinggi dengan 13.9 kematian bagi setiap 100,000 penduduk.
Sementara itu jumlah keseluruhan kes aktif Covid-19 menurun kepada 120,246 selepas Malaysia merekodkan 14,422 kes sembuh berbanding 8,743 kes baharu.
Daripada jumlah ini, 95,521 pesakit – atau 79.4% – menjalani kuarantin di rumah, 16,249 (13.5%) di pusat kuarantin berisiko rendah dan 7,708 (6.4%) di hospital.
Daripada jumlah pesakit yang dirawat di hospital, 768 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), yang mana 418 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. – 10 Oktober, 2021.

Komen