89.7% populasi dewasa lengkap vaksin Covid-19 


Jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancar sejak 24 Februari lalu meningkat kepada 43,067,793.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2021.

MALAYSIA mencatat 89.7 peratus populasi dewasa atau 21,003,074 orang telah lengkap menerima dos vaksinasi Covid-19 setakat 11.59 malam tadi (9 Oktober), menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus hanya berbaki 0.3 peratus.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan disiarkan portal CovidNow, sebanyak 94.7 peratus atau 22,176,018 individu bagi populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Selain itu, sejumlah 83,443 dos suntikan vaksin diberikan semalam bagi golongan dewasa melibatkan 8,236 suntikan dos pertama, manakala 75,207 lagi dos kedua. 

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancar sejak 24 Februari lalu meningkat kepada 43,067,793.

Bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, setakat semalam sebanyak 204,536 atau 6.5 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin manakala 71.5 peratus atau 2,248,867 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Pada 22 September, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus golongan dewasa telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 mereka. – Bernama, 10 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen