2 kali tertangguh, jawatankuasa harap PM selesaikan pembinaan kuil di Putrajaya


Noel Achariam

Pengerusi kuil S. Thiayagarajan berkata ini akan menjadi satu-satunya kuil Hindu di Putrajaya dan dengan itu harus dihidupkan kembali untuk masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober 2021.

PEMBINAAN sebuah kuil seperti dijanjikan kepada penduduk beragama Hindu Putrajaya tertangguh dua kali berikutan pertukaran kerajaan dan jawatankuasa rumah ibadat itu mahu kerajaan sekarang menyiapkan projek tersebut.

Pengerusinya S. Thiayagarajan berkata, Kuil Dewi Sri Lalithaambigai Aalyam di Presint 5 hanya dapat memulakan beberapa kerja asas dan struktur sebelum dihentikan kerana kekurangan dana pada 2017.

Pengganut agama itu merayu agar pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dapat meneruskan pembinaan sebuah kuil di atas sebidang tanah yang diberikan kerajaan.

Thiayagarajan berkata ini akan menjadi satu-satunya kuil Hindu di Putrajaya dan dengan itu harus dihidupkan kembali untuk masyarakat.

“Kami mempunyai lebih 2,000 orang India yang tinggal di Putrajaya yang berkhidmat sebagai penjawat awam, pesara, dan kami tidak mempunyai sumber pendapatan lain untuk menyelesaikan kuil itu.

“Kami dengan rendah hati memohon kerajaan hari ini untuk membantu kami menyiapkan kuil ini kerana kami tidak mahu hanya menjadi tatapan saja di sini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Selepas pusat pentadbiran kerajaan persekutuan dibangun di atas bekas tanah ladang, kerajaan pada 2006 telah memperuntukkan satu plot untuk rumah ibadat orang bukan Islam.

Thiayagarajan berkata majlis pecah tanah kuil Hindu itu berlangsung pada 2013 dengan ahli jawatankuasa kuil dan sami yang didatangkan khas dari India bagi memberkati tempat itu.

Berdasarkan rancangan seni bina, kuil ini akan memiliki ketinggian 15 meter dan berkeluasan 1,672 meter persegi.

Pembinaan dimulakan pada 2016 dengan anggaran kos keseluruhan projek sebanyak RM8 juta. – 10 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen