SITUASI Covid-19 di Malaysia terus menunjukkan peningkatan yang baik kerana kebanyakan petunjuk utama semakin menurun.
Bermula dengan kes harian Covid-19, jumlah pemulihan melebihi kes baharu bagi hari ke-23 berturut-turut hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Malaysia melaporkan 14,422 pemulihan berbanding 8,743 jangkitan baharu setakat tengah hari ini.
Beliau berkata, daripada kes baharu yang dilaporkan, hanya 122 orang atau 1.4% kes berada dalam kategori 3, 4 dan 5 yang lebih serius.
Baki 8,621 pesakit atau 98.6% kes adalah dalam kategori 1 dan 2 dengan tanpa gejala atau bergejala ringan.
Ini pasti akan menyaksikan pengurangan jumlah kes aktif di negara ini, namun angka itu akan dikemas kini di laman web kementerian CovidNow hanya pada tengah malam.
Kementerian Kesihatan juga mengesahkan selepas ini semua maklumat Covid-19 akan dimuat naik di laman sesawang.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kementerian akan menumpukan kepada petunjuk penting ketika Malaysia bergerak menuju fasa endemik.
Sementara itu, Noor Hisham juga berkata, jumlah pesakit yang dirawat dengan penjagaan kritikal juga mengalami penurunan hari ini.
Katanya, 770 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), yang mana 714 pesakit disahkan dirawat untuk Covid-19 manakala 56 adalah kes yang disyaki dan kes yang masih disiasat.
Beliau berkata, terdapat sedikit peningkatan bagi pesakit yang memerlukan ventilator dengan 419 memerlukan sokongan pernafasan - 304 kes Covid-19 yang disahkan dan 115 kes yang disyaki dan kes yang disiasat.
Semalam, 792 pesakit dirawat di ICU dan 386 pesakit mendapat sokongan pernafasan.
Selain itu, Noor Hisham berkata, kementerian mengesan 10 kluster baharu Covid-19 hingga tengah hari ini, menyumbang 362 kes.
Beliau berkata, 4 kluster dikaitkan dengan tempat kerja (133 kes), 4 kluster dikesan dalam komuniti (166 kes) dan 2 kluster membabitkan kumpulan berisiko tinggi (63 kes).
Penambahan kluster hari ini menjadikan jumlah kluster di negara ini kepada 5,580. Daripada jumlah itu, 845 masih aktif sementara 4,735 sudah berakhir. – 9 Oktober, 2021.
Komen