8,743 kes baharu Covid-19, KKM hanya papar data di portal CovidNow


Ravin Palanisamy

Jumlah kes baharu hari ini paling rendah dalam tempoh 4 hari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2021.

MALAYSIA melaporkan 8,743 kes baharu Covid-19 sehingga tengah hari ini, paling rendah dalam empat hari terakhir, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Jumlah kumulatif di negara ini kini 2,332,221.

Menulis di Facebook untuk melaporkan angka itu, ketua pengarah kesihatan tidak menjelaskan secara terperinci jumlah kes mengikut negeri tetapi menyatakan butiran mengenainya boleh diperoleh menerusi laman sesawang Kementerian Kesihatan CovidNow.

Pemeriksaan dengan kementerian mengesahkan pecahan kes dan butiran lain akan dimuat naik di laman sesawang CovidNow.

Seorang pegawai menyatakan ia akan menjadi amalan selepas ini.

“Kerja untuk memuat naik data harian ke CovidNow akan bermula selepas tengah malam. Selalunya ia tersedia untuk dilihat selepas jam 2 pagi.

“Seperti yang disebutkan sebelumnya oleh menteri dan ketua pengarah, kami akan melakukan perkara ini secara perlahan-lahan,” kata seorang pegawai kementerian itu.

Tidak ada garis masa yang tepat diberikan bagi masa peralihan.

Sebelum ini, kementerian melaporkan kematian, kes aktif dan vaksinasi di laman sesawang CovidNow. – 9 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen