PUTRAJAYA harus menjelaskan keputusannya mendapatkan dan menggunakan antivirus Molnupiravir bagi merawat pesakit Covid-19 kerana ubat lain juga dikatakan berkesan, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, ramai bertanya kenapa Malaysia memilih produk antivirus keluaran Merck Sharpe & Dohme, sedangkan ubat lain juga dikatakan berkesan dalam merawat pesakit.
“Ramai yang bertanya mengapa Malaysia memilih Molnupiravir berbanding ubat lain.
“Apa kelebihan Molnupiravir berbanding ubat-ubatan lain yang sudah lama berada di pasaran dan dilaporkan lebih berkesan di negara lain,” kata Zahid dalam catatan di Facebook.
Beliau menamakan ubat lain yang dikatakan berkesan terhadap Covid-19 termasuk Baricitinib, Dexamethasone, Remdesivir, Favipiravir dan Ivermectin.
Zahid juga berkata, Persatuan Farmasi Malaysia pada Julai dilapor menyatakan Baricitinib didapati berkesan dalam mengurangkan risiko pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 terkena radang paru-paru berdasarkan kajian di luar negara.
“Perlu ada penjelasan lebih lanjut kerajaan untuk meyakinkan rakyat Malaysia mengenai penggunaan Molnupiravir,” katanya.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata awal minggu ini kerajaan sedang mendapatkan 150,000 pakej rawatan lengkap Molnupiravir, ubat oral.
Ia akan diberikan kepada pesakit Covid-19 yang menunjukkan gejala selama 5 hari dan juga mungkin untuk pesakit dengan jangkitan yang teruk.
https://www.themalaysianinsight.com/index.php/bahasa/s/344009
Beliau menyatakan hanya 150,000 pakej rawatan yang diperoleh, kerana Malaysia mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi. Ubat antivirus akan menjadi sebahagian daripada strategi kementerian menentang Covid-19, tegasnya.
Molnupiravir adalah ubat yang baru dikembangkan dan ubat antivirus oral pertama untuk Covid-19.
Di Amerika Syarikat, mereka masih menunggu pengiktirafan badan pengawalseliaan tetapi AS bersetuju untuk membeli kira-kira 1.7 juta dos ubat itu. – 9 Oktober, 2021.
Komen