HANYA berbaki 0.6% sebelum jumlah vaksinasi populasi dewasa di negara ini mencecah 90% dengan kira-kira 20.92 juta atau 89.4% sudah mendapat suntikan lengkap, lapor Kementeri Kesihatan (KKM).
Menurut laman web KKM CovidNow, sebanyak 174,829 suntikan vaksin diberi semalam di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Daripada jumlah itu, 74,199 adalah dos pertama sementara 100,621 adalah suntikan kedua.
Sebanyak 45,379,299 dos vaksin diberikan di bawah program ini sejak ia dimulakan pada 24 Februari tahun ini.
Malaysia dijangka mencapai sasaran vaksinasi dewasa Covid-19 sebanyak 90% pada Isnin dengan kadar semasa suntikan diberi setiap hari.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata rentas negeri akan dibenarkan apabila 90% populasi dewasa di negara ini mendapat vaksin lengkap.
Sementara itu, 70.4%, atau sekitar 2 juta remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun, menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, sementara 5.6% atau 177.029 mendapat vaksin lengkap.
Laman web CovidNow kementerian mengunjurkan 80% remaja akan diberi vaksin lengkap pada 2 November.
Kanak-kanak dalam kumpulan umur ini menerima vaksin Pfizer dan Sinovac.
Sementara itu, dengan mengambil kadar vaksinasi bagi jumlah penduduk negara ini, 74.6% daripada populasi keseluruhan sudah divaksinasi sebahagian dan 64.6% mendapat vaksinasi lengkap.
Lembah Klang mempunyai kadar vaksinasi tertinggi, dengan 82.1% populasi umum dan 112% populasi dewasa diimunisasi.
Sabah mempunyai kadar vaksinasi terendah. Ia adalah satu-satunya negeri yang memberi vaksin kurang 70% populasi orang dewasa, iaitu 64.1%. Hanya 46.5% populasi keseluruhannya diimunisasi. – 9 Oktober, 2021.
Komen