Jumlah kes, penggunaan ICU dan kluster Covid-19 menurun, kata KP kesihatan


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes sembuh Covid-19 terus mengatasi kes baharu apabila negara melaporkan 12,724 individu pulih berbanding jangkitan baharu sebanyak 9,751. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2021.

JUMLAH pesakit Covid-19 yang sembuh terus mengatasi jangkitan baharu apabila negara melaporkan 12,724 kes pulih berbanding 9,751 jangkitan baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Hari ini hari ke-22 berturut-turut Malaysia melaporkan kes pulih mengatasi jangkitan baharu.

Dr Noor Hisham berkata cuma 206 orang atau 2.1 peratus kes yang dikesan hari ini berada dalam Kategori 3, 4 dan 5.

Selebihnya sebanyak 9,454 kes atau 97.9 peratus daripadanya berada dalam Kategori 1 dan 2.

Ini mengurangkan jumlah kes aktif negara namun Kementerian Kesihatan (KKM) hanya akan kemas kini angka tersebut pada tengah malam di laman web CovidNow.

Sementara itu, terdapat kemajuan positif di Unit Rawatan Rapi (ICU) apabila jumlahnya terus menurun.

Hari ini, terdapat 792 pesakit di ICU, di mana 715 adalah kes Covid-19, sementara 77 adalah kes yang disyaki dan sedang disiasat.

Jumlah pesakit yang memerlukan ventilator juga berkurangan kepada 386 pesakit dan dari jumlah ini 302 adalah kes Covid-19 manakala 84 kes disyaki atau sedang disiasat.

Semalam, 827 dimasukkan ke ICU dan seramai 445 menggunakan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, KKM mengesan 10 kluster baharu Covid-19 setakat tengah hari ini, yang menyumbang 187 kes.

Katanya, enam kluster berkait tempat kerja dengan 109 kes, dua jangkitan komuniti (62 kes), satu kumpulan berisiko tinggi (10 kes) dan satu lagi berkait dengan sektor pendidikan (6 kes).

Selangor, Pahang dan Kuala Lumpur masing-masing melaporkan dua kluster, manakala Perak, Melaka, Johor dan Kelantan masing-masing melaporkan satu.

Kluster baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster negara kepada 5,570. Daripada jumlah itu, 874 masih aktif sementara 4,696 sudah tamat. – 8 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen